Sistem kecerdasan buatan ChatGPT dilaporkan telah berjaya merangka karangan dan menjawab soalan-soalan yang ditanyakan dalam sebuah peperiksaan perubatan yang paling sukar di Amerika Syarikat di United States Medical License Exam (USMLE).
Menerusi jurnal perubatan PLOS Digital Health, ChatGPT berjaya meraih markah lulus atau hampir lulus dan menandakan tahap kematangan AI yang semakin tinggi. Ini menunjukkan bahawa ChatGPT mungkin boleh dimanfaatkan untuk pendidikan perubatan dan membuat keputusan rawatan yang penting pada masa kelak.
Baca Juga:
- Gara-Gara Kehadiran ChatGPT, Individu Ini Jangka Google Mungkin ‘Jatuh’ Dalam Tempoh Dua Tahun Lagi
- Bimbang Bantu Pelajar Menipu Dalam Tugasan, Pelajar Di Australia Dihalang Akses ChatGPT
Untuk makluman, peperiksaan tersebut adalah satu kewajipan untu para pelajar perubatan yang ingin mendapatkan lesen perubatan. Ini terdiri daripada tiga bahagian yang merangkumi pelbagai aspek seperti sains asas, penilaian diagnostik, pengurusan perubatan, farmakologi dan etika biologi.
ChatGPT berjaya meraih markah di antara 52.4% dan 75% untuk ketiga-tiga bahagian. Markah yang diperlukan untuk lulus adalah 60%. Menariknya, ChatGPT berjaya menewaskan sebuah lagi model AI iaitu PudMedGPT yang dibangunkan khas untuk pengetahuan biomedik yang mana hanya beroleh markah 50.8% sahaja.
USMLE terkenal dalam kalangan pelajar kerana kesukarannya yang sangat tinggi. Sebelum ini, ChatGPT juga dilaporkan telah berjaya lulus dalam sesebuah peperiksaan guaman. Malah, Bill Gates sendiri berpendapat ChatGPT bakal mengubah dunia.