Chelsea nyata masih belum mahu berehat pada jendela perpindahan musim panas ini apabila kini sedang berusaha untuk membawa masuk penyerang Napoli, Victor Osimhen.
Dengan Romelu Lukaku semakin hampir menyertai kelab Serie A itu untuk kembali bekerjasama dengan Antonio Conte, Osimhen pula sudah tawar hati dengan Napoli dan secara terang-terangan mahu mengubah haluan baharu.

Baca Juga:
- Conte Mahukan Lukaku Di Napoli, Chelsea Cuba Pinjam Osimhen
- Semakin Hampir Ke Napoli, Conte Mahu Lukaku Ganti Osimhen
- Ini Jumlah Keseluruhan Gaji Diterima Oscar Selepas Tinggalkan Chelsea
Perkembangan terkini itu membuatkan Chelsea tidak akan berputus asa bagi mendapatkan peledak kelahiran Nigeria tersebut meskipun Al-Ahli turut berminat untuk membawa Osimhen ke Arab Saudi.
Meskipun Al-Ahli bersedia menawarkan gaji lumayan kepada Osimhen, ejen pemain tersebut menegaskan bahawa penjaring terbanyak Serie A 2022/23 itu masih belum bersedia untuk meninggalkan Eropah.
Satu kenyataan yang memberikan ruang seluas-luasnya buat Chelsea untuk menambahkan bisa serangan mereka pada musim ini.
Sehubungan dengan itu menurut sumber laporan Goal, Chelsea sudah menghantar tawaran rasmi kepada ejen Osimhen iaitu Roberto Calenda dan berkemungkinan perbincangan dengan Napoli sudah pun bermula.
Sekiranya gagal untuk mendapatkan Osimhen, The Blues dikatakan menjadikan Ivan Toney sebagai pilihan alternatif dimana penyerang tersebut turut menarik minat kelab Saudi Pro League.
Selain Osimhen, Chelsea turut sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Jadon Sancho dan dikatakan Raheem Sterling bakal menjadi pertukaran ke Manchester United.
Chelsea kelihatan cukup bernafsu untuk menambah kekuatan di jentera serangan selepas merekrut dua pemain sayap kelahiran Portugal, Joao Felix dan Pedro Neto.
Dua pemain tersebut menampilkan impak pantas dimana Neto mencipta ruang buat Felix untuk meledakkan jaringan pada penampilan sulungnya musim ini.