Media kerajaan China melaporkan bahawa pengawal pantainya telah merampas kawalan sebuah terumbu karang yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, terletak berhampiran dengan pos tentera utama Filipina, sekaligus menambah ketegangan wilayah yang berterusan antara kedua-dua negara.

China mendakwa memiliki kedaulatan ke atas hampir seluruh Laut China Selatan sambil menafikan tuntutan negara-negara serantau yang lain dan keputusan antarabangsa yang menganggap kedudukannya tidak sah dari segi undang-undang.

China dan Filipina telah terlibat dalam beberapa bulan siri ketegangan di perairan yang menjadi pertikaian, dan kini Manila menyertai latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat yang dikecam Beijing sebagai ‘merosakkan’ kestabilan.

Dilaporkan oleh penyiar negara CCTV pada hari Sabtu, pengawal pantai China telah “melaksanakan kawalan maritim” ke atas Terumbu Tiexian, yang turut dikenali sebagai Sandy Cay, pada pertengahan bulan April.

Untuk makluman, Tanjung pasir kecil itu, yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly, terletak berdekatan dengan Pulau Thitu, atau dikenali juga sebagai Pagasa, yang menempatkan kem tentera Filipina.

Menurut laporan CCTV, pendaratan pengawal pantai China di Sandy Cay adalah bertujuan untuk “melaksanakan kedaulatan dan bidang kuasa” mereka ke atas terumbu tersebut, di samping menjalankan “pemeriksaan” dan “mengumpulkan bukti video berkenaan aktiviti haram yang didakwa dilakukan oleh pihak Filipina”.

China
Sumber Gambar: BBC

Penyiar tersebut menyiarkan gambar lima individu berpakaian hitam berdiri di atas terumbu yang tidak berpenghuni, dengan sebuah bot getah berwarna gelap kelihatan terapung di perairan berdekatan.

Dalam gambar yang lain, kelihatan empat pegawai pengawal pantai mengibarkan bendera negara di atas permukaan putih terumbu, yang ditafsirkan oleh CCTV sebagai “ikrar kedaulatan”.

Siaran berita tersebut melaporkan bahawa kumpulan itu juga “membersihkan sisa botol plastik, kayu, serpihan-serpihan lain dan segala jenis sampah di terumbu”.

Sumber