Permohonan maaf Kylian Mbappe dan Real Madrid kepada rakyat China masih belum meredakan kontroversi yang tercetus susulan gurauan penyerang Perancis itu mengenai bekas pemimpin China, Mao Zedong.

Menurut laporan The Telegraph, China Media Group (CMG), penyiar milik kerajaan China, menolak penjelasan awal Real Madrid dan menegaskan bahawa kenyataan Mbappe sudah melampaui batas kebebasan bersuara.

“Kami percaya kenyataan keterlaluan Mbappe telah menyakiti rakyat China, melampaui batas dan melebihi ruang lingkup kebebasan bersuara,” menurut CMG.

Penyiar itu turut mempersoalkan pendirian Real Madrid yang sebelum ini menjelaskan bahawa Mbappe tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa dan mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat peribadinya.

CMG menegaskan bahawa Real Madrid sebagai kelab yang diwakili Mbappe turut memikul tanggungjawab besar terhadap kontroversi berkenaan.

Kontroversi itu bermula apabila Mbappe bercakap mengenai meme yang memaparkan wajahnya disunting pada imej Mao Zedong. Dalam temu bual bersama rancangan The Bridge, Mbappe berkata meme tersebut antara yang paling melucukan baginya.

Mao Zedong merupakan pemimpin revolusi komunis yang mengasaskan Republik Rakyat China dan memerintah negara itu dari 1949 hingga kematiannya pada 1976. Gurauan mengenai tokoh berkenaan dianggap sensitif dalam masyarakat China.

Mbappe kemudian mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka, mengakui kenyataannya kurang wajar dan memahami bahawa kata-katanya telah menyakiti perasaan ramai rakyat China serta komuniti China di seluruh dunia.

Real Madrid turut mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada rakyat China dan menegaskan penghormatan kelab itu terhadap sejarah, budaya serta masyarakat negara berkenaan.

Bagaimanapun, kontroversi tersebut sudah membawa kesan komersial yang besar. Beberapa syarikat China, termasuk Dongpeng, Mengniu dan Milkground, dilaporkan menamatkan kerjasama dengan Mbappe.

Penyiar China juga menggantung siaran perlawanan La Liga, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesan kewangan kepada bola sepak Sepanyol.

Walaupun Kementerian Luar China menyatakan pihaknya mengambil serius permohonan maaf Mbappe, perkembangan itu belum bermakna kontroversi berkenaan sudah berakhir.