Identiti mayat wanita ditemui tanpa kepala dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, pada 31 Disember lalu sudah dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Memetik Berita Harian, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata penemuan itu hasil siasatan dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan Bahagian Data Bank/DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ke atas ibu mangsa.

Baca Juga:

“Hasil ujian yang dijalankan pada 2 Ogos lalu, mendapati DNA wanita terbabit adalah sepadan dengan sampel diambil daripada mayat tidak lengkap dan tanpa identiti itu,” katanya.

Tambahnya lagi, polis berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu dan direman selama enam hari bermula 6 Ogos lalu hingga hari ini selepas Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Poli Daerah Alor Gajah menjalankan risikan.

“Menerusi siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tengkorak dan tulang jari kira-kira enam kilometer dari kawasan tempat mayat mangsa dijumpai,” katanya.

Difahamkan juga suspek lelaki adalah kenalan mangsa sewaktu belajar di universiti. Mereka turut berhubung berkaitan pelaburan mata wang Forex.

Suspek lelaki itu juga merupakan bekas guru sebelum berhenti menjadi pedagang mata wang asing (Forex). Dia dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan mangsa pada ketika itu.

“Reman ke atas suspek lelaki disambung selama tujuh hari lagi bermula hari ini hingga 18 Ogos bagi melengkapkan siasatan manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya lagi.

Sumber