Semua artis dan kumpulan musik yang mahu membuat persembahan di Malaysia perlulah mengikut peraturan dan tatasusila negara ini.

Bagaimanapun pada malam semalam satu kumpulan pop rock ‘The 1975’ telah melakukan beberapa aksi kurang sopan dan bercanggah dengan norma budaya negara — merokok, minum minuman keras, meludah, memperlekeh undang-undang Malaysia mengharamkan LGBT dan bercium rakan sejantina di hadapan penonton.

Akibat tindakan keterlaluan kumpulan musik tersebut, penganjur Good Vibes Festival segera memberhentikan persembahan mereka serta-merta.

Sehubungan dengan itu, Good Vibes Festival telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

“Persembahan 1975 terpaksa dihentikan kerana tidak mematuhi garis panduan prestasi tempatan. Pihak penganjur festival merakamkan kekesalan atas sebarang kesulitan yang berlaku dan merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan.

“Festival Good Vibes 2023 akan diteruskan seperti yang dirancang pada hari Sabtu dan Ahad, dan peserta yang mempunyai gelang festival hari Jumaat kini boleh memilih untuk hadir pada mana-mana hari dengan menunjukkan gelang tangan mereka di pintu masuk utama,” petik kenyataan rasmi penganjur.

Orang ramai berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku pada masa hadapan dan pada masa sama memuji ketegasan pihak penganjur memberhentikan persembahan kumpulan musik terbabit.

Menurut ciapan @fahmi_fadzil, penganjur akan bertemu dengan pihaknya untuk beri penjelasan lanjut hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital juga akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan penuh.