Pemain pertahanan negara, La’Vere Corbin-Ong menyasarkan tiga mata untuk dibawa pulang apabila skuad kebangsaan turun menentang Taiwan pada perlawanan kedua kumpulan D saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa ini.

Pasukan negara berjaya mencatat kemenangan pada aksi pertama menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu dan Corbin mahu skuad Harimau Malaya untuk mengekalkan rentak kemenangan dan meraih satu lagi kemenangan.

Baca Juga:

“Saya percaya pasukan ini tahu kualiti tersendirinya dan kegagalan untuk membawa pulang tiga mata akan dirasakan seperti kekecewaan.

“Kami juga yakin kami mampu meraih tiga mata walaupun kami tahu bahawa Chinese Taipei adalah pasukan kuat, kami akan mendapatkan mata penuh dan membawanya pulang,” katanya dipetik dari laporan Astro Arena.

Corbin-Ong
Sumber Gambar: FAM

Corbin-Ong merupakan salah seorang pemain yang beraksi 90 minit ketika menentang Kyrgyzstan yang mana pasukan negara berjaya mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan memenangi perlawanan 4-3 setelah ketinggalan 3-1 pada awal separuh masa kedua.

Nada sama turut dilaungkan seorang lagi pemain pertahanan iaitu Dion Cools dimana pemain Buriram United itu juga mahu pasukan negara untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Semua pemain akan kembali berlatih kerana perlawanan selepas ini sangat penting yang mana kami perlukan tiga mata kerana ianya tidak berbaloi menang ke atas Krygyztan kemudiannya tewas kepada Taiwan.

“Kami menghormati lawan kerana sedar ianya bukan perlawanan yang mudah kerana kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku terutama apabila bermain di tempat lawan,” katanya dipetik dari laporan Flash Sukan.

Dion Cools sendiri menjaringkan dua gol ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan dimana kedua-dua jaringan beliau hadir menerusi sepakan penjuru yang diambil oleh Arif Aiman.

Selain Cools, dua lagi jaringan dihasilkan menerusi gol sendiri pemain pertahanan lawan dan juga Faisal Halim pada lewat permainan sekaligus memberikan kemenangan 4-3 kepada Malaysia.