Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, tampil mempertahankan rakan sepasukan dan menegaskan bahawa isu homof*bia juga sama seriusnya dengan rasisme dalam bola sepak moden.
Kenyataan itu hadir selepas penggantungan pemain muda lawan, Gianluca Prestianni, susulan insiden panas melibatkan Vinícius Júnior.
Perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menyaksikan ketegangan tercetus apabila Vinícius mendakwa menerima kata-kata berunsur diskriminasi daripada Prestianni.
UEFA kemudian mengambil tindakan menggantung pemain tersebut sementara siasatan dijalankan. Walaupun terdapat dakwaan awal mengenai unsur rasisme, laporan menyebut insiden itu lebih menjurus kepada kata-kata berbaur homof*bia berdasarkan kenyataan Prestianni.
Keadaan itu mengundang kemarahan Courtois yang memang terkenal dengan kelantangannya dalam menyuarakan pandangannya.
Menurutnya, sama ada rasisme atau homof*bia — kedua-duanya tidak mempunyai tempat dalam bola sepak. Beliau turut menyelar mana-mana pihak yang cuba memandang ringan isu tersebut hanya kerana ia bukan berbentuk perkauman.
“Diskriminasi tetap diskriminasi,” tegasnya.
Beliau juga mempertahankan gaya sambutan gol Vinícius yang sebelum ini dikritik sesetengah pihak sebagai provokatif, menegaskan bahawa kegembiraan meraikan jaringan bukan alasan untuk pemain dihina.
Kes melibatkan Vinícius bukanlah yang pertama. Pemain Brazil itu sebelum ini beberapa kali menjadi mangsa ejekan rasis di stadium Sepanyol.
Insiden terbaharu ini sekali lagi membuka perbincangan besar tentang budaya diskriminasi dalam bola sepak Eropah.
UEFA dijangka meneruskan siasatan dan tindakan lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.