Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada Sabtu menyimpulkan bahawa virus Covid-19 bermula ‘lebih berkemungkinan’ bocor dari sebuah makmal di China, berbanding andaian ia tersebar secara semula jadi melalui haiwan dalam penilian baharu tentang asal-usul wabak yang membunuh berjuta-juta orang itu.

Memetik Sinar Harian, CIA berkata ia membuat kesimpulan itu walaupun dengan keyakinan rendah, pandemik Covid-19 lebih berkemungkinan berpunca daripada kegiatan penyelidikan di makmal, berbanding berlaku secara semula jadi, berdasarkan maklumat yang ada.

Covid-19
Sumber Gambar: Al Jazeera

“CIA masih meneliti punca penularan Covid-19 dan setakat ini percaya bahawa kedua-dua kemungkinan virus bocor dari makmal dan kemungkinan ia berlaku secara semula jadi masih boleh diterima (berdasarkan bukti yang ada),” kata jurucakap tersebut.

Penilaian baharu ini dikeluarkan selepas John Ratcliffe dinamakan sebagai pengarah CIA pada Khamis di bawah pentadbiran Donald Trump.

Ratcliffe, yang berkhidmat sebagai pengarah perisikan negara dari 2020 hingga 2021 sewaktu penggal pertama Trump, berkata dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Jumaat bahawa keutamaannya dari ‘hari pertama’ adalah untuk menyiasat asal usul Covid -19.

“Berdasarkan akal yang sihat, asal-usul Covid-19 saya percaya bahawa ia bocor dari dari Institut Virologi Wuhan,” kata Ratcliffe.

Seorang pegawai Amerika memberitahu AFP bahawa perubahan pendirian ini adalah berdasarkan analisis baharu terhadap perisikan sedia ada yang diarahkan oleh pengarah CIA sebelumnya, William Burns.

Malah, laporan itu sudahpun siap sebelum kehadiran Ratcliffe pada minggu ini.

Dalam pada itu, senator Republikan Tom Cotton dari negeri Arkansas berkata, beliau berbesar hati dengan pendedahan terbaharu CIA itu yang menurutnya, teori kebocoran virus itu dari makmal adalah penjelasan yang paling munasabah sambil memuji Ratcliffe kerana berani menyahklasifikasi penilaian.

“Sekarang perkara yang paling penting adalah meminta China ‘membayar’ kembali wabak yang sudah mereka lepaskan ke dunia ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, pihak kedutaan China di Washington tidak segera membalas mesej perihal berkenaan.

Sebelum ini, pihak berkuasa China telah menolak spekulasi tentang asal-usul Covid-19 berasal dari makmal yang disifatkan negara itu sebagai bermotifkan politik.

Selain itu, beberapa agensi Amerika, seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Tenaga, menyokong teori kebocoran makmal, sekalipun tahap keyakinan mereka berbeza.

Mereka yang percaya kebocoran makmal adalah punca Covid-19 menekankan bahawa kes pertama dikesan di Wuhan, China.

Lebih spesifik lagi, kes tersebut dilaporkan di sebuah hab penyelidikan virus korona yang terletak kira-kira 1,600 kilometer dari populasi kelawar yang membawa virus serupa dengan SARS.

Sebahagian besar lain agensi perisikan atau penganalisis bagaimanapun cenderung mempercayai virus Covid-19 berasal dari sumber semula jadi.