Sempena ulang tahun ke-20 butik Crossover, Crossover tampil dengan kolaborasi kedua mereka dengan jenama kasut terkemuka Indonesia, Sepatu Compass.

Kolaborasi kedua ini lebih manis apabila turut menampilkan FDMTL, jenama denim kult dari Jepun. Tiga nama yang lahir daripada komuniti, berkongsi satu falsafah: karya yang baik lahir daripada proses, bukan sekadar hasil akhir.

Crossover Lakar Sejarah Tersendiri Menerusi Kolaborasi Bersama Compass & FDMTL
Dari kiri: Gaku Tsuyoshi (FDMTL), Jem (Crossover) & Aji Handoko (Compass)

Siluet Velocity dipilih mewakili jenama Compass, FDMTL hadir dengan motif rekaan Sashiko; jahitan tradisional Jepun yang sinonim dengan ketekunan dan ketahanan, manakala Crossover menjadi jambatan yang menyatukan nilai, budaya dan perspektif tiga negara.

Menurut Chief Experience Officer Compass, Aji Handoko, “Tiga karakter, tiga latar — tapi satu semangat yang sama. Velocity Sashiko dibina dengan kesedaran penuh, dibuat tangan sepenuhnya, dan dihasilkan di Indonesia.”

Proses penuh perhatian terhadap alam sekitar

Di sebalik sentuhan craftsmanship pada rekaan Velocity Sashiko, ada proses pembuatan kain yang lebih lestari. Bahan digunakan ini dihasilkan bersama Craft Denim, pengeluar tekstil tempatan yang menenun dan mewarnakan fabrik menggunakan indigo semula jadi.

Craft Denim menggunakan sistem pengolahan sisa dalaman yang memisahkan air jernih dan endapan. Air bersih yang terhasil akan digunakan semula untuk proses pencucian dan pewarnaan. Melalui cara ini, sekitar 67% jumlah air dapat dikitar semula — menjadikan setiap meter kain hanya memerlukan kira-kira 700ml air sahaja.

Tiga warna eksklusif dan berbeza untuk Malaysia, Indonesia & Jepun

Velocity Sashiko bukan sekadar kolaborasi produk; ia jadi simbol bagaimana idea mampu menghubungkan budaya dan mencipta makna baharu. Seperti falsafah Sashiko — “menjahit sedikit demi sedikit” — koleksi ini meraikan ketekunan serta pertemuan tiga identiti yang berbeza.

Koleksi ini hadir dalam tiga warna eksklusif mengikut negara: Malaysia (Hitam), Indonesia (Indigo) dan Jepun (Indigo).

Setiap negara menerima warna tersendiri, dan semuanya akan dirilis secara berasingan. Selain itu, koleksi ini turut dilengkapi dengan Jersey Sashiko dalam dua warna utama: biru dan hitam.

Setakat artikel ini ditulis, hampir semua model dan jersi sudah sold out dan anda boleh cuba nasib untuk beli di butik fizikal Crossover di The Exchange TRX untuk model Kuala Lumpur dan laman rasmi Compass dan FDMTL untuk model Indonesia dan Jepun.