Jenama Huawei bukanlah satu nama yang asing dalam dunia peranti elektronik. Huawei mula meneroka beberapa bidang baru sejak jualan telefon pintar mereka mula merosot akibat ‘perang dingin’ dengan Amerika Syarikat pada tahun lalu.
Terbaru, syarikat dari China itu telah memperkenalkan sebuah kenderaan crossover yang dikenali sebagai Seres Huawei Smart Selection SF5 semasa acara Auto Shanghai 2021 berlangsung.
Kereta crossover Huawei SF5 ini merupakan hasil kerjasama antara Huawei dan sebuah syarikat dari California, Seres. Rekaan kereta ini tampil dengan reka bentuk yang hampir sama dengan model Seres SF5 yang pernah ditunjukkan pada tahun 2019.
Model kereta crossover ini menggunakan beberapa teknologi daripada Huawei seperti Huawei DriveOne (sistem elektronik), Huawei HiCar (sistem hiburan) dan Huawei Sound (sistem audio).
Dua motor elektrik di depan dan belakang yang ada pada kenderaan ini membekalkan kuasa 405kW dan tork 820Nm yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.
Jika menggunakan kuasa bateri sahaja, Huawei SF5 boleh bergerak sehingga 180km. Tetapi dengan menggunakan enjin petrol 1.5L empat silinder sebagai range-extender, model crossover ini boleh bergerak sehingga 1,000km.
Huawei menawarkan kereta ini dalam dua varian single-motor berharga 216,800 yuan (RM137,287) dan dual-motor berharga 246,800 yuan (RM156,334). Para pelanggan sudah pun boleh menempah model crossover ini melalui platform Vmall Huawei pada harga 1,000 yuan (RM633).
Nampaknya jenama telefon pintar sudah pun mula menerokai bidang automotif dan bakal bersaing dengan pemain-pemain automotif lain bagi menghasilkan kereta elektrik pintar yang bakal menjadi pengganti kepada kenderaan petrol pada masa akan datang.
Tahun lalu pengeluar peralatan elektronik dari Jepun, Sony mengejutkan orang ramai dengan menghasilkan sebuah kereta elektrik.
Sony Kejutkan Ramai Dengan Menyertai Industri Kereta Elektrik
Selepas iPhone, Apple Dijangka Lancarkan Kereta Elektrik Menjelang 2024