Dua chef dari Johor berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Masakan Tempatan Jeju ke-9 & Pertandingan Kulinari Antarabangsa WACS yang berlangsung baru-baru ini di Universiti Pelancongan Jeju, Pulau Jeju, Korea Selatan.

Chef Fazalina Ismail dari Segamat bersama rakan sepasukannya, Muhammad Saufie Ab Rashid dari Tangkak, memukau para juri dengan hidangan pembuka ‘cucur udang kuah kacang’ serta ketam sumbat dengan sos cili bawang putih, diikuti hidangan utama fish seaweed roulade dengan salad jeruk limau tangerin, petik Free Malaysia Today.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri kulinari dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Kulinari Malaysia Bersatu, Fazalina, 55, berkata cabaran terbesar yang mereka hadapi ialah memastikan semua bahan yang digunakan adalah halal.

“Kami perlu sangat berhati-hati dalam pemilihan bahan dan akhirnya memutuskan untuk menumpukan pada makanan laut selepas meneliti bahan-bahan halal di Pasar Dongmun di Jeju. Komunikasi juga menjadi cabaran kerana kebanyakan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris,” katanya kepada Bernama.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Chef Korea dan diiktiraf oleh Worldchefs itu menarik penyertaan daripada tujuh negara termasuk Nepal, Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Malaysia diwakili oleh lima orang chef yang diketuai oleh Awang Razali Hussin.

“Ini merupakan kali pertama saya bertanding di luar negara, jadi saya memang berasa gementar dan sangat terharu. Apabila nama Malaysia diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga, saya tidak dapat menahan air mata. Ia adalah detik yang sangat membanggakan untuk mewakili Johor dan Malaysia di pentas dunia,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Fazalina, yang telah menulis 26 buah buku masakan, berkata Taiwan memenangi pingat emas, Korea Selatan meraih perak, manakala Malaysia membawa pulang gangsa.

Memulakan perjalanan kariernya sebagai pembantu dapur sebelum naik ke jawatan executive chef, Fazalina mula menyertai pertandingan kulinari sejak tahun 2004.

“Pada tahun 2022, saya mula aktif dalam dunia persatuan chef dan kini bekerja sebagai chef bebas. Saya sering dijemput oleh kolej kulinari di seluruh negara untuk memberi ceramah, dan turut pernah menjadi juri pertandingan di dalam serta luar negara.

“Kali ini, saya memilih untuk kembali bertanding buat pertama kali sejak tahun 2011 bagi menunaikan impian peribadi,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa perjalanan kali ini dibiayai sepenuhnya oleh suaminya, sambil berharap agar kerajaan negeri dapat memberi lebih banyak sokongan dan tajaan kepada chef tempatan yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.