Kerajaan Negeri Pahang telah melucuthakkan sebanyak 122 hak milik tanah milik syarikat Berjaya di sekitar Bukit Tinggi, Bentong, berikutan kegagalan syarikat berkenaan menjelaskan tunggakan cukai tanah yang berjumlah lebih RM70 juta.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali, mengesahkan bahawa tindakan penguatkuasaan bagi menyita tanah terbabit telah dilaksanakan pada 28 September lalu.
Antara lokasi yang terjejas dalam operasi penguatkuasaan tersebut termasuklah kuarters pekerja, premis dobi, taman arnab, dan taman Jepun yang dibina di atas tanah berkenaan, petik Berita Harian.
“Pada 28 September 2026, UPNP melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap tanah milik syarikat Berjaya Sdn Bhd di Bukit Tinggi, yang telah dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Sebanyak 122 hak milik yang dilucuthak telah disita, manakala struktur kekal yang berada atas tanah kerajaan telah dikosongkan dan dikunci, dengan pemasangan rantai dan mangga.
“Tindakan dilaksanakan selepas pihak Berjaya gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah sebanyak RM 70,481,097 melibatkan keseluruhan 122 hak milik, yang tertunggak seawal tahun 2020,” katanya.
Menurut beliau, struktur kekal di atas tanah terbabit kini telah dikosongkan, dikunci, serta dipasang rantai dan mangga bagi menghalang sebarang pencerobohan atau aktiviti tanpa kebenaran.
Tindakan penguatkuasaan ini juga telah dimaklumkan kepada wakil Berjaya Group yang hadir di lokasi operasi, susulan penyerahan dan penampalan notis yang dibuat pada 9 dan 10 September lalu.
Sehubungan itu, pihak UPNP memberi amaran agar semua aktiviti di lokasi terbabit dihentikan serta-merta. Mana-mana pihak yang ingkar boleh berdepan tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Walau bagaimanapun, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan berkenaan kini tertakluk kepada arahan penangguhan yang telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah.