Baru-baru ini, suami Shila Amzah, Ubai MZ berkongsi ciapan di platform X mengenai sikap culas seorang bapa yang tidak membayar nafkah anak.

Menurutnya, nafkah anak bernilai RM350 tidak diberikan walaupun ia adalah tanggungjawab bapa kandung. Akan tetapi, apabila suami baru kepada bekas isteri memberikan nafkah kepada anaknya, bapa kandung pula tidak dapat menerima kenyataan.

Baca Juga:

Dalam ciapan tersebut, Ubai turut seakan mengungkit bekas suami kepada individu dimaksudkan langsung tidak memberikan sebarang nafkah, termasuklah membelikan kasut seperti yang diminta anaknya.

“Daripada kahwin sampai cerai satu haram pun tak bagi. Anak minta kasut pun tak bagi-bagi sampai sekarang.

“Dulu pun ex tanggung dari makan, minum, kenderaan dan tempat tinggal. Bil hospital beranak pun langsung kau tak ambik peduli.” ujar Ubai.

Perkongsian tersebut telah meraih perhatian orang ramai dan segelintir netizen mendakwa perkongsian itu ditujukan kepada bekas suami Shila Amzah iaitu Haris Idraki.

Susulan itu, dalam satu laporan media, Ubai enggan mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan tersebut. Tambahnya, dia sekadar berkongsi mengenai sikap seorang bapa yang tidak acuh dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak.