Sudah menjadi satu tanggapan yang biasa buat orang ramai apabila melihat rumah yang disimbah cat merah, ia pasti berkait dengan hutang along yang gagal dilunaskan oleh si peminjam.
Bagaimanapun, satu siaran iklan rumah yang mahu dilelong menerusi platform Facebook ini telah meraih perhatian dek kerana gambar yang dikongsikan jelas kelihatan cat merah yang telah dicurahkan di kawasan pagar rumah.
Difahamkan rumah teres setingkat berkeluasan 1,023 kaki persegi yang terletak di Klang ini dalam status freehold dan mahu dilelong di bawah harga pasaran iaitu RM230,000 sahaja.
Untuk menyakinkan pembeli, si penyiar mendakwa bahawa cat merah yang kelihatan jelas di dalam gambar itu bukanlah berkait dengan hutan tetapi hanya sekadar tumpahsn cat merah yang tidak disengajakan oleh pemilik asalnya.
Dia turut meminta maaf kepada individu yang berminat kerana tidak boleh membuat pemeriksaan untuk bahagian dalaman dan hanya boleh dari luaran sahaja berdasarkan alamat yang tertera.

Siaran iklan yang di muat naik oleh wakil platform rumah lelong itu ternyata berjaya meraih perhatian netizen tetapi hanya melihat ia sebagai sesuatu yang lucu kerana keyakinan pemilik yang sanggup menjual rumah dalam keadaan begitu tanpa membuat pembersihan terlebih dahulu.
“Caption tu ingat kita baru hidup semalam ke,” seloroh seorang netizen.
“Sepatut harga kena 50k, baru betul.
Rumah dah terlalu viral,” ujar seorang lagi.
“Haiya, kalau dengan budak2 tadika boleh la nak goreng,” komen seorang netizen.
Dalam pada itu, ramai merasakan agak mustahil untuk unit tersebut terjual memandangkan sudah memiliki sejarah hitam dan pasti akan menjadi sasaran ceti haram di kemudian hari.