Cuti panjang sempena sambutan Hari Malaysia bagi tahun 2024 menyaksikan hampir 100,000 rakyat Malaysia menghabiskan cuti di wilayah Selatan Thailand, sekali gus menyumbang lebih daripada 1 bilion baht (sekitar RM129.5 juta) kepada ekonomi negara jiran, lapor MalaysiaKini.

Antara destinasi popular yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia seperti Hat Yai, Songkhla, Krabi, dan Pattani.

Difahamkan bahawa wilayah Selatan Thailand dilaporkan sesak dengan pengunjung Malaysia sepanjang empat hari cuti hujung minggu tersebut.

Menurut Presiden Persatuan Hotel Hat Yai Songkhla, Sittipong Sitthipatprapha, lebih 36,000 pelancong Malaysia memasuki wilayah Songkhla melalui tiga pintu masuk utama—Sadao, Dan Prakob, dan Padang Besar—pada 14 September lalu.

Pihak berkuasa juga melaporkan bahawa kenderaan mula bersesak menuju ke Selatan Thai, terutama Hat Yai bermula seawal 5 pagi dan berlarutan hingga 11 malam.

Penginapan juga dipenuhi dengan rakyat Malaysia apabila lebih 400 hotel yang menawarkan lebih 30,000 bilik di Selatan Thailand telah ditempah penuh sepanjang cuti ini.

“Pelancong Malaysia datang secara beramai-ramai ke sini, menjadikan ekonomi tempatan benar-benar hidup. Sepanjang cuti panjang ini sahaja, kita menjana pendapatan melebihi 1 bilion baht,” kata Sittipong kepada Bernama.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama orang Malaysia menyerbu ke Selatan Thailand, tetapi difahamkan cuti panjang kali ini dilihat luar biasa dari segi jumlah pengunjung dan sumbangan kepada ekonomi tempatan.

Hotel, restoran, dan pasar-pasar tempatan di Hat Yai, Songkhla, serta kawasan berdekatan seperti Phatthalung, Trang, dan Krabi penuh sesak dengan pelancong Malaysia yang mencari makanan halal, tempat penginapan selesa, dan pengalaman membeli-belah yang unik.

Difahamkan antara faktor utama mengapa Selatan Thailand menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia bila tiba musim cuti sekolah adalah kerana jaraknya yang dekat, harga yang berpatutan, dan kemudahan untuk mendapatkan makanan halal.