Bagi kebanyakan kita, mendaki bukit atau gunung adalah peluang keemasan untuk melarikan diri daripada hiruk-pikuk kota.

Kita mendaki untuk mencari ketenangan, mendengar desiran angin, bunyi cengkerik, dan menghirup udara segar yang jarang-jarang dapat dinikmati.

Namun, bayangkan suasana damai yang anda impikan itu tiba-tiba bertukar menjadi lantai tari kelab malam, lengkap dengan dentuman muzik yang membingitkan telinga.

Itulah situasi luar biasa yang tular baru-baru ini apabila sekumpulan pendaki memilih untuk membawa budaya ‘berdisko’ ke puncak bukit.

Menerusi video yang tular, ia memperlihatkan sekumpulan individu mendaki sebuah bukit pada waktu malam.

'Dah Macam Disko' – Aksi Pendaki Berparti Sakan & Pergaulan Bebas Atas Bukit Raih Kecaman
Sumber Gambar: Threads

Sambil diterangi dengan lampu suluh dan telefon pintar, mereka didapati sedang berseronok sehingga keadaan menjadi riuh rendah apabila masing-masing menari sakan serta berkaraoke dan dipercayai diiringi alunan muzik menerusi speaker.

Sudahlah tidak menghormati hidupan flora dan fauna di waktu hening malam, pergaulan bebas tanpa batas di antara jantina lelaki dan wanita yang bukan mahram kelihatan jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.

'Dah Macam Disko' – Aksi Pendaki Berparti Sakan & Pergaulan Bebas Atas Bukit Raih Kecaman
Sumber Gambar: Threads

Selain itu, kelihatan mereka menikmati juadah makanan yang dimasak secara langsung dalam jumlah yang besar.

Susulan penularan video tersebut, sejumlah netizen meluahkan rasa bengang dengan tindakan kumpulan terbabit yang tidak menjaga adab sekaligus memberi tanggapan negatif terhadap aktiviti riadah tersebut.

“Takde adab langsung. Patutlah “penghuni hutan” marah sampai ada orang kena rasuk malam semalam. Korang kalau masuk hutan, tolonglah jaga adab kelakuan & percakapan. Silap2 makan diri je nanti,” pesan seorang pengguna.

“Punca korang nnt terus tutup bukit dinding… malam dah tak boleh naik nanti,” tegas seorang lagi.

“Menda gila nak berparty bagai. Ni nama nya masuk hutan tapi adab tinggal dekat rumah. Bukan gini caranya nak beriadah dalam hutan,” komen seorang netizen lain.

Antara kebimbangan lain menjadi perbincangan adalah isu keselamatan yang terdedah kepada bahaya binatang liar atau mahluk halus yang menghuni di hutan tersebut.

Oleh sebab itu, ada juga meluahkan kerisauan pada suatu hari masa kelak disebabkan perangai segelintir individu bakal menjadikan aktiviti hiking lebih ketat dan peminat atau pelapis baharu tidak boleh menikmatinya.