Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha mendedahkan telah menamatkan kontraknya dengan beberapa jenama yang dikaitkan dengan Israel kerana dia memandang serius isu kemanusiaan di dunia.
Menurut Daiyan lagi, dia juga membuat keputusan itu atas kehendaknya sendiri.
“Saya nak maklumkan yang saya dah tamatkan kontrak dengan beberapa jenama yang saya bekerjasama sebelum ini.
“Ini adalah keputusan saya sendiri dan perjuangan saya sendiri demi Palestin.
““Ini juga adalah cara saya bertindak dan tunjukkan pendirian berterusan saya,” katanya dipetik Harian Metro.
Dengan keputusan drastik yang dibuat, dia berharap semua orang akan terus berjuang walau apa pun cara sekalipun untuk saudara-saudara di sana.
Daiyan bagaimanapun tidak pula mendedahkan kerugian dan penalti yang terpaksa ditanggungnya selepas membatalkan kontrak secara mengejut.
Terdahulu, Daiyan merupakan salah seorang individu yang tersenarai di dalam gerakan #Blockout kerana didakwa bekerjasama dengan jenama antarabangsa yang berpihak kepada regim Israel.
Lanjutan daripada isu tersebut, dia tampil menyatakan pendiriannya bahawa akan tetap memberi sokongan kepada saudara-saudara di Palestin malah telah menderma sejumlah RM100,000 kepada NGO untuk menyalurkan bantuan ke negara tersebut.
Diharapkan lebih ramai artis mengikuti jejak langkah Daiyan Trisha dalam menyatakan solidariti kepada saudara di bumi Gaza tanpa sebarang kompromi.