Kempen Blockout tengah trending terutamanya di negara Barat, namun gelombang ini turut terasa di Malaysia apabila sejumlah artis tempatan telah disenarai hitam oleh netizen.

Salah seorang artis yang menjadi sasaran di media sosial adalah Daiyan Trisha. Sudahlah dikecam berkaitan penerbitan buku puisinya, kini telah disenarai hitam sebagai artis yang menyokong Israel pula oleh netizen.

Namun tidak mahu berdiam diri lagi, dia lantas menghantar satu ciapan ringkas dengan beberapa tangkap layar yang membuktikan pendiriannya tetap bersama saudara Palestin di sana.

“Allah tahu,” tulis ringkas oleh Daiyan.

Bagaimanapun, salah satu tangkap layarnya memperlihatkan kenyataan yang dia sentiasa mengingati saudara Palestin dalam masa meminta maaf jika caranya tidak bertepatan jangkaan ramai.

Dia juga berpesan bahawa hanya Allah yang mengetahui niat seseorang dalam melakukan sesuatu perkara. Selain itu, Daiyan memberitahu dia terima dengan hati terbuka semua kritikan yang dilemparkan oleh netizen sejak kebelakangan ini.

“ Saya tak pernah sesekali lupa akan saudara saya di Palestine. Saya minta maaf jika cara saya tak bertepatan dengan cara yang anda mahukan.

“ Tak apa, saya terima segala kecaman. Sila teruskan perjuangan anda untuk saudara-saudara kita di Palestine dengan pelbagai upaya, kerana itulah yang paling penting sekali.

“ Ini cara yang saya termampu pada masa ini berdasarkan situasi dan keadaan. Saya minta maaf. Saya akan cuba untuk usaha lagi dengan lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daiyan turut menyelit dua keping gambar sumbagan kepada tabung Palestin yang berjumlah RM25,000 bagi setiap satu.

‘Niat Kita Hanya Allah Sahaja Yang Tahu’ - Daiyan Trisha
Sumber Gambar: X @daiyantrisha
‘Niat Kita Hanya Allah Sahaja Yang Tahu’ - Daiyan Trisha
Sumber Gambar: X @daiyantrisha

Susulan ciapan itu, netizen mula menghujani ruangan ciapan dia dengan memberi kata semangat dan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mengecam seseorang tanpa sebarang asas.

Sejak kehadiran kempen tersebut, netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka sebagai satu solidariti terhadap saudara di bumi Palestin.