Sejak lebih dua ratus hari yang lalu, kekejaman yang berterusan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza telah menimbulkan gelombang solidariti di seluruh dunia sehingga lahirnya gerakan ‘#Blockout2024’ di Malaysia.

Serangan di Rafah pada awal bulan ini, yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan bagi penduduk Palestin yang tiada tempat berteduh setelah rumah mereka dibedil rejin zionis, sekali lagi mengejutkan dunia.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Tindak balas terhadap kekejaman ini semakin meluas, dengan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai cara, termasuk boikot terhadap jenama-jenama yang didakwa bersikap pro-zionis.

Satu gerakan yang semakin mendapat sokongan adalah ‘#Blockout2024’, yang pertama kali dirangsang oleh masyarakat Amerika Syarikat (AS) dan kini telah menular ke Malaysia.

Gerakan ini melibatkan tindakan menyekat akaun media sosial selebriti dan pempengaruh yang tidak menunjukkan solidariti atau membantu rakyat Palestin yang sedang berjuang di tanah air mereka.

Mehmet Izudin, seorang pengguna media sosial menjelaskan bahawa tindakan blockout bukan sekadar ‘unfollow’, tetapi menyekat akaun tersebut supaya pendapatan dari pengiklanan tidak dapat disalurkan kepada mereka.

Gerakan ini telah memberi kesan yang signifikan di AS, di mana beberapa selebriti pro-Israel telah kehilangan jumlah pengikut yang besar di media sosial mereka.

Kini masyarakat Malaysia turut mempertimbangkan untuk menyertai gerakan blockout ini sebagai tindak balas terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.

Kritikan terhadap selebriti dan pempengaruh tempatan yang didakwa tidak menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin semakin meningkat di media sosial.

Sebuah senarai nama selebriti dan pempengaruh tempatan yang harus disekat telah disusun oleh netizen.

Kriteria bagi penentuan siapa yang harus disekat termasuklah penglibatan dalam promosi produk pro-zionis atau mengambil sikap tidak peduli mengenai apa yang terjadi di Palestin.

Reaksi terhadap gerakan blockout ini di Malaysia cukup positif, dengan banyak netizen menyahut cabaran untuk menyekat selebriti dan pempengaruh yang dinilai tidak mempunyai empati terhadap nasib rakyat Palestin.

Ada yang menyanjung langkah pelajar di AS yang memulakan gerakan ini dan menggesa masyarakat Malaysia untuk melakukan perkara serupa.

Namun, ada juga yang mempertanyakan kesan sebenar gerakan ini terhadap keadaan di Gaza, serta menyeru agar setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam menyokong rakyat Palestin.

Gerakan blockout 2024 merupakan satu tindakan masyarakat global dalam menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin yang sedang berjuang.

Di Malaysia, walaupun masih berada dalam fasa awal, sokongan terhadap gerakan ini semakin meningkat, menunjukkan kesedaran dan kepekaan terhadap isu kemanusiaan yang kian mendalam di kalangan masyarakat tempatan.