Jika dahulu, agensi pelancongan dilantik untuk memudahkan urusan dan memperkenalkan budaya atau tempat tarikan ketika di sesebuah negara, kini semua sudah berubah apabila hasil jualan pula yang dicari oleh mereka.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok dengan nama imahRose berkongsi pengalaman buruk ketika berkunjung ke Korea Selatan. Apa yang terjadi adalah dia mendakwa telah terjerat ke lokasi perangkap yang disasarkan kepada pelancong.
Menerusi perkongsian video, wanita tempatan itu mendakwa pihak agensi pelancongan telah membawa ke beberapa lokasi berbeza dan dipaksa membeli barangan cenderahati sebelum boleh keluar dari tempat tersebut.
“Tiga kali ejen bawa ke tempat ‘tourist trap, ambil masa yang lama kat tempat dia rekomen. Tapi tempat berjalan (pelancongan) semua ada had masa sekejap-sekejap saja,” kongsinya.
Tambahnya lagi, ketika di muzium ginseng, mereka dipaksa untuk membeli produk-produk yang dijual yang mana harganya agak mahal.
“Pada mulanya, ingatkan masuk muzium belajar pasal ginseng, eh malah dikepung tak bagi keluar sebab tak ada yang nak beli produk mereka.
“Yang red pine (produk ginseng) ni harga bukan main, satu kapsul saja dalam RM50 hingga RM100, kena tahan dalam bilik briefing sampailah ada (pelancong) yang jadi pak sanggup untuk beli,” tulisnya di video TikTok.
Di dalam video itu, nampak suasana yang cukup sibuk di mana para penjual sedang giat mempromosi barang jualan kepada para pelancong yang dibawa oleh agensi pelancongan.
Bercerita mengenai kedai kosmetik yang dilawati, wanita itu berkata dia tidak mengingatinya dengan jelas nama premis itu tapi apa yang pasti ia bukanlah kedai terkemuka.
“Tak ingat nama kedai kosmetik, tapi tak pernah dengar atau nampak pula dalam K-Drama atau mana-mana. Siap tutorial lengkap penjagaan kulit.
“Kat sini pun disuruh beli bungkusan mask siap-siap sebab katanya nanti penat nak bawa jika beli masa waktu ‘free and easy’ sebab naik kenderaan awam,” katanya.
Memandangkan didakwa telah dikepung, ada individu terpaksa menjadi pak sanggup untuk membuat pembelian demi meninggalkan tempat tersebut.
Bagaimanapun, dia menyimpulkan bahawa secara keseluruhannya perjalanan yang diikuti memang bagus kecuali kunjungan ke dua lokasi tersebut yang dianggap mengganggu emosi dan masa.
“Walaupun dibawa ke tempat tourist trap, tempat-tempat yang dijanjikan pergi terlunas. Nami Island, Petite France, Library Coex Mall, Itaewon Mosque, Gyeongbok Palace, Bukchon Hanok, Namdaemun, Myeondong.
“Makan jangan risau, semua dibawa ke kedai halal, hotel OK cuma jauh sikit,” kongsi wanita itu lagi.
@imahrose 3 kali ejen bawa pergi tempat tourist trap, makan masa lama kat tempat konon dia rekemen, tapi tempat berjalan² semua ada had masa sekejap² #korea #travel #scam #traveltips
Perkongsian wanita tempatan itu telah menjadi bualan hangat di platform TikTok dan rata-ratanya netizen bersetuju pada masa kini semakin banyak agensi pelancongan yang mengambil kesempatan ke atas pelanggan untuk meraih jualan.
Ramai juga berkongsi yang mereka turut mengalami pengalaman yang sama ketika melancong dan berharap perkara iini akan dihentikan pada masa kelak.