Dalam tempoh tiga tahun sahaja, Johor, Malaysia, telah melonjak daripada pemain kecil ke salah satu pasaran pusat data (data center) terbesar di Asia Pasifik.
Dari kapasiti 10 MW pada tahun 2019, angka itu kini melompat lebih 1,500 MW menjelang 2024.

Perkembangan ini menjadikan Johor sebagai tarikan global dalam ekonomi digital, dan pastinya, nama Johor kini disebut-sebut sebagai “Silicon Valley Asia Tenggara”.
Lokasi Johor sebagai pusat data sebenarnya strategik, bersebelahan dengan Singapura, ia menawarkan kos operasi yang jauh lebih rendah, menjadi daya tarikan utama bagi syarikat teknologi gergasi dunia.
Antara nama besar yang telah melabur di Johor ialah Nvidia, ByteDance, dan banyak lagi. Kawasan seperti Sedenak Tech Park (STeP) dan Nusajaya Tech Park kini menjadi “hotspot” pembangunan pusat data.
Namun, kejayaan ini tidak datang tanpa cabaran.
Isu bekalan elektrik dan air yang sering terganggu menjadi salah satu kebimbangan utama bagi pelabur yang ingin menanam modal di Johor.
Kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif melalui inisiatif Green Lane Pathway, yang mempercepat proses kelulusan infrastruktur kepada hanya 12 bulan.
Usaha ini telah mendapat sambutan positif daripada pelabur global.
Langkah ini bukan sahaja membantu menyelesaikan isu infrastruktur tetapi juga mencerminkan komitmen Johor untuk terus menjadi pusat ekonomi digital yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Kejayaan Malaysia berjaya menarik pelabur asing ke Johor juga mendapat sambutan baik dari negara jiran.
Bambang Brodjonegoro, bekas Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia, “Indonesia harus belajar daripada Johor, yang agresif menarik pelabur melalui insentif fiskal dan dasar mesra pelabur.”
Johor kini berdiri sebagai contoh transformasi ekonomi digital di rantau ini.
Dengan kapasiti yang terus berkembang, inovasi teknologi, dan visi untuk pembangunan yang mampan, Johor seakan bersedia menjadi wajah baru Asia Pasifik dalam revolusi data global.
Malaysia, melalui Johor, sedang membuktikan bahawa dengan strategi yang tepat, pelaburan besar dan transformasi digital dapat berlaku dengan cepat dan mampan.
Dalam dunia yang semakin didorong oleh data, Johor adalah bintang yang terus bersinar.