Dani Carvajal tidak berpuas hati dengan cara budak milo atau ball boy di stadium Atletico Madrid yang suka melengahkan perlawanan.

Atletico Madrid menang 5-2 ke atas Real Madrid dalam aksi derbi Madrid semalam.

“Kalah derbi memang tidak pernah menyenangkan. Kami tidak cukup tajam, terlalu banyak melakukan kesilapan, dan perlawanan itu sukar buat kami. Kami terlalu terikut dengan suasana, perlawanan agak panas, dan kami tidak melaksanakan tugas dengan baik.

“Kadang-kadang kekalahan ini berguna untuk menyedarkan bahawa bukan semuanya indah,” kata Carvajal.

Carvajal kemudian menganggap budak milo di dalam perlawanan ini sebagai membuang masa dan mengganggu perlawanan. Lantas dia mencadangkan La Liga belajar daripada EPL.

Ini kerana cara yang ada di La Liga dianggap tidak efisien.

“Ia semudah seperti di Premier League: letak kon dan biar pemain pergi ambil. Penyelesaian itu sangat mudah dan sudah pun diamalkan di liga jiran,” tegas Carvajal.

Ini bukan pertama kali Carvajal mencadangkan tentang perkara ini. Dia pernah meminta La Liga meniru EPL yang meletakkan bola atas kon tepi padang untuk memudahkan permainan diteruskan daripada situasi bola mati.

Kemudian, dia yakin bahawa tindakan seperti itu akan dapat mengelak insiden tidak diingini antara pemain dan juga budak milo.

Mengulas tentang moral skuad Real Madrid, Carvajal menambah: “Kecewa. Tidak banyak kata-kata boleh menenangkan kami hari ini, tetapi esok matahari tetap akan terbit. Biarlah kekalahan ini menyakitkan supaya kami dapat mencari semangat baharu.”