Tun Razak Exchange (TRX) akan bangunkan bangunan komersial ke-10 menjelang suku kedua 2029 nanti.
Memetik Harian Metro, pembinaan bangunan setinggi 39 tingkat itu memenuhi peningkatan permintaan bagi ruang pejabat premium. Ini kerana kadar penghunian bangunan sedia ada sudah hampir penuh.
Baca Juga:
- Ada Idea ‘Gila’ Nak Beli Bangunan TRX? Ini Harga Menara Tun Razak Exchange
- The Exchange TRX Tampil Beri Penjelasan Insiden Paip Sisa Makanan Yang Pecah
- ‘Tote Bag’ Percuma Apple TRX Kini Dijual Semula Dengan Harga Mencecah RM5,000

“Pelancaran menara baharu ini tepat pada masanya kerana (tindakan) kami berpandukan data serta permintaan dengan momentum kukuh dan jangkaan penghunian penuh dalam masa terdekat.
“Bangunan baharu itu akan mengetengahkan pelan lantai fleksibel, keselamatan pelbagai tahap, akses lebih mudah ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) selain menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang hanya menjadikan TRX sebagai tempat kerja yang bersedia bagi masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib.
PwC penyewa utama di bangunan TRX baharu

Menurutnya firma PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia akan menjadi penyewa utama di bangunan berkeluasan 250,000 kaki persegi itu.
Difahamkan PwC mengambil sewaan selama 20 tahun di bangunan baharu tersebut.
“Bagi kemajuan masa depan, kami merancang untuk membawa masuk pihak lain dengan penjualan ekuiti dalam syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan bagi pembangunan ini,” katanya.
Pelbagai syarikat global pilih TRX

Menurut Azhar, lebih 95 peratus projek penginapan telah berjaya dijual. Sementara penghunian bangunan pejabat yang beroperasi sekarang pula mencecah hampir 80 peratus.
Pembangunan itu telah menarik minat syarikat-syarikat dari luar negara seperti Ant International, Bin Zayed Group, Mitsubishi UFJ Financial Group Investor Services dan pelbagai lagi.
“Pencapaian ini hanya memaparkan keyakinan kukuh terhadap potensi Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan dan kewangan.
“Selain itu, pelaburan bernilai lebih RM8 bilion telah dapat direalisasikan di TRX yang mempunyai keluasan 28.32 hektar dan lebih 20,000 pekerja yang berpengetahuan,” katanya.