Seorang lelaki yang dulunya kaya raya, banyak harta, kehidupan senang kini bertukar menjadi seorang penjual roti di tepi jalan setelah beliau muflis dan hidup dengan berhutang.

Sirivat Voravetvuthikun, merupakan simbol semangat keusahawanan Thailand. Beliau bermula sebagai broker saham di pelbagai bursa saham Asia selepas tamat pengajian diĀ Amerika Syarikat pada tahun 1970-an. Selama belasan tahun sebagai broker saham, dia berjaya menjana wang yang banyak dan dinobatkan sebagai salah seorang bilionair di Thailand.

Malangnya, apabila krisis ekonomi 1997 berlaku di Thailand, ekonomi Sirivat juga turut merudum. Dalam laporan VoA, pelaburan yang dia miliki selama berpuluh-puluh tahun lebur.

Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya ditindih dengan hutang yang banyak sehingga mencecah AS$ 30.4 juta dan disaman sana sini oleh pemiutang kerana tidak mampu membayar hutang. Disebabkan keadaan itu, dia kemudiannya diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, dia tidak kecewa lama. Sirivat bangkit dari penyesalan dengan mula menjaja roti di jalan-jalan sekitar Bangkok. Dia tidak kisah apa yang orang kata kerana tiada siapa yang akan membantu dirinya melainkan dirinya sendiri.

Dia memperoleh AS$ 14 sehari pada permulaannya. Lama kelamaan, ia bertukar menjadi bukit, dari keuntungan yang kecil ia mula membuahkan hasil yang lumayan.

Berkata kesabarannya meniti kembali tangga usaha setelah jatuh terduduk, Sirivat kini memulakan perniagaan yang lebih besar. Memetik New Mandala, daripada wang jualan roti di tepi jalan, dia mengembangkan perniagaannya dengan membuka dua kedai kopi kecil. Lebih manis lagi, kejayaan ini diperoleh tanpa meminjam wang.

Dari dua kedai kopi kecil ini pula, dia mula mengembangkan perniagaannya dengan menawarkan servis katering sehingga dia mampu untuk menggajikan berpuluh orang. Dia kemudiannya mengeluarkan roti jenamanya sendiri iaitu Sandwich Sirivat.

Sehingga akhirnya, selepas berpuluh-puluh tahun bangkit daripada muflis, pada tahun 2009, Sirivat kembali menjadi usahawan yang berjaya. Sandwich Sirivat mula muncul di seluruh Bangkok dan menjadi ikon kota Gajah Putih.

Sirivat mula menjadi terkenal dan digelar “The Sandwich Man” oleh orang ramai. Atas dasar ini, orang ramai menjadikan beliau sebagai ikon usahawan kerana berjaya bangkit daripada muflis menjadi bilionair semula.