Pengalaman melancong ke negara orang selalunya membuka mata, tetapi bagi seorang pelancong wanita dari Filipina, kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini memberikan satu kejutan budaya yang tidak disangka-sangka.
Pada asalnya, dia terbang ke ibu negara pada hari Sabtu lepas semata-mata untuk menonton konsert kumpulan rock legenda, My Chemical Romance (MCR).
Namun, apa yang dilihatnya di sini membuatkan dia terpaksa menilai semula tanggapan awalnya terhadap Malaysia.
SANGKAAN AWAL YANG JAUH MELESET
Menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads, pengguna yang dikenali sebagai Joyce itu mengakui dia pada mulanya menyangkakan Malaysia berada pada tahap pembangunan yang sama dengan negaranya, atau mungkin Filipina sedikit lebih baik.
Hal ini kerana Malaysia bukanlah sebuah destinasi percutian yang popular atau sering dibualkan di sana.
“Selama ini saya tidak pernah nampak pakej percutian ke Malaysia di agensi-agensi pelancongan kami, sebaliknya asyik dipromosikan Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan dan China,” luahnya.
Disebabkan kurangnya pendedahan pemasaran pelancongan di negaranya, dia langsung tidak pernah mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan sehinggalah konsert MCR membawanya ke sini.
FASILITI DAN KOS SARA HIDUP YANG MEMBUKA MATA
Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, segala persepsinya berubah seratus peratus. Joyce meluahkan rasa kagum yang amat sangat terhadap pelbagai kemudahan yang tersedia.
“Bayangkan betapa terkejutnya saya apabila kami tiba di KL, bermula dari lapangan terbang, kelancaran sistem, keadaan jalan raya, pengangkutan awam, kebersihan jalanan, sehinggalah kepada harga makanan. Semuanya sangat teratur,” tulisnya dengan penuh teruja.
Lebih mengejutkan baginya, dia menyedari bahawa kos perbelanjaan di Filipina jauh lebih mahal berbanding di Malaysia, sedangkan kualiti infrastruktur di negaranya masih jauh ketinggalan.
Malah, dia menyifatkan Metro Manila sebagai tempat yang mempunyai sistem, infrastruktur, dan pengurusan kos yang paling kurang memuaskan pernah dikunjunginya.
Pandangan ini disokong oleh seorang rakyat Malaysia di ruangan komen yang pernah ke Manila, menjelaskan bahawa lokasi yang cantik dan mesra di sana seperti Greenbelt Makati dan Bonifacio Global City (BGC) sebahagian besarnya adalah kawasan elit serta tumpuan ekspatriat yang memerlukan kos perbelanjaan besar.
Joyce bersetuju dengan pandangan tersebut lalu mengakui satu realiti yang menyedihkan bahawa adalah lebih murah bagi rakyat Filipina untuk melancong ke negara jiran berbanding bercuti di dalam negara sendiri.
Pengalaman positif ini turut dikongsi oleh rakan senegaranya yang sangat menggemari sistem pengangkutan awam kita, memuji kemudahan tren dari KLIA yang membawa penumpang terus ke Nu Sentral dalam masa kurang daripada 40 minit serta lambakan pilihan makanan yang jauh lebih murah berbanding di Filipina.
RAKYAT MALAYSIA BERSELOROH MINTA DIRAHSIAKAN
Apa yang membuatkan perkongsian ini menjadi tular dan menghiburkan adalah reaksi balas daripada netizen Malaysia sendiri.
Bukannya melambung pujian dan meminta Joyce mempromosikan Malaysia, ramai rakyat tempatan mengambil pendekatan berseloroh dengan memintanya memadam hantaran tersebut.
Joyce dengan rasa keliru memuat naik hantaran susulan, “Rakyat Malaysia, sebahagian daripada anda buat saya keliru! Anda sengaja ‘merahsiakan’ negara anda untuk mengelak kehadiran pelancong.
Saya malah menerima mesej peribadi yang meminta saya memadam hantaran ini supaya orang lain tidak tahu betapa menariknya Malaysia.”
Rata-rata netizen Malaysia bergurau mahu mengawal pintu masuk negara supaya keadaan tidak menjadi terlalu sesak.
Mereka menjelaskan bahawa rakyat tempatan tidak mahu Malaysia mengalami lambakan pelancong yang berlebihan seperti apa yang berlaku di Bali, Indonesia atau Siargao, Filipina.
Antara komen kelakar yang mencuit hati adalah daripada seorang pengguna tempatan yang bertegas menyembunyikan realiti sebenar dengan menulis, “Hei, itu mesti Malaysia yang lain. Apa maksud anda lapangan terbang? Kami rakyat Malaysia masih terbang guna burung gergasi dan karpet ajaib dari Alibaba! Tolong rahsiakannya.”
REALITI PASPORT DAN KEMAJUAN NEGARA
Perbincangan dalam ruangan komen tersebut turut melontarkan beberapa fakta menarik mengenai kedudukan Malaysia di mata dunia.
Seorang pengguna Filipina menekankan jurang perbezaan antara kedua-dua negara dengan memetik fakta bahawa pasport Malaysia kini menduduki tangga kedua di peringkat global, membolehkan rakyatnya melawat 175 buah negara tanpa memerlukan visa.
Fakta ini mendapat perhatian Joyce yang menzahirkan rasa kagum memandangkan status kedua-dua negara sebagai negara jiran terdekat namun kualiti kehidupan harian nyata berbeza.
Walaupun diusik oleh netizen yang menyuruhnya memberitahu rakan-rakan di Filipina bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang hebat sebagai taktik rahsia, Joyce kekal dengan pendiriannya.
Dia bertegas sudah pun merancang untuk menceritakan pengalaman indahnya di Malaysia kepada semua kenalannya sebaik sahaja pulang kelak.
Percutian singkat ini terbukti membuka satu dimensi baharu, menunjukkan bahawa kemajuan dan keselesaan di Malaysia adalah sebuah kejutan indah bagi mereka yang pertama kali menemuinya.