Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis memerintahkan ahli perniagaan Datuk Seri Adenan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, syarikatnya ADN Properties Sdn. Bhd. serta pemilik tanah, Hasmy Abu Hassan, membayar semula RM1.4 juta kepada 17 pembeli tanah dalam kes saman berhubung penjualan lot tanah di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Siti Fatimah Talib membenarkan saman yang difailkan oleh 12 lelaki dan lima wanita yang mendakwa menjadi mangsa urusan pembelian lot tanah berkenaan.

Selain bayaran balik RM1.4 juta, mahkamah turut mengarahkan Datuk Red dan ADN Properties membayar ganti rugi teladan sebanyak RM170,000 kepada semua plaintif.

Dalam penghakimannya, hakim berkata ADN Properties telah memeterai perjanjian jual beli induk untuk memperoleh tanah bernilai RM1.8 juta.

Bagaimanapun, hak milik tanah itu tidak pernah dipindahkan kepada syarikat berkenaan dan harga belian induk juga tidak dijelaskan sepenuhnya.

Mahkamah turut mendapati Datuk Red merupakan individu yang mengawal operasi syarikat dan memainkan peranan aktif dalam keseluruhan urus niaga.

Menurut hakim, syarikat melalui ejen-ejennya telah memberikan gambaran bahawa ADN Properties mempunyai hak untuk menjual lot tanah tersebut walaupun syarikat itu bukan pemilik berdaftar.

Hakim Siti Fatimah berkata fakta penting seperti harga belian tanah induk yang belum diselesaikan, urusan pusaka serta kelulusan tanah yang masih belum lengkap tidak pernah didedahkan kepada pembeli. Malah, ADN Properties juga belum berada dalam kedudukan untuk menjamin pemindahan hak milik lot kepada pembeli.

Mahkamah juga memutuskan bahawa berlaku penipuan melalui salah nyata dan penyembunyian fakta material.

Selain itu, ADN Properties didapati melakukan kemungkiran asas apabila menerima bayaran penuh daripada pembeli tetapi gagal menyerahkan hak milik seperti dijanjikan atau memulangkan semula wang yang diterima.

Menurut hakim lagi, Datuk Red tidak dipertanggungjawabkan hanya kerana statusnya sebagai pengarah syarikat, sebaliknya kerana beliau merupakan pelaku aktif yang mengetahui status sebenar tanah, namun tetap meneruskan penjualan lot kepada orang ramai.

Kesemua plaintif yang memfailkan saman pada 2019 mendakwa mereka membeli lot tanah berdasarkan promosi yang menggambarkan kawasan itu sesuai untuk pembangunan kediaman lengkap dengan kemudahan seperti surau, sekolah dan pusat rekreasi.

Namun hasil semakan mendapati tanah tersebut masih didaftarkan atas nama pemilik asal dan tidak pernah dipindah milik kepada ADN Properties.

Plaintif turut mendakwa tindakan defendan bukan sekadar melanggar kontrak, malah membentuk salah nyata, penipuan dan konspirasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian selepas membayar bagi tanah yang tidak dapat dipindah milik seperti dijanjikan.