Hafizul Hawari, suspek kes tembak isteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berkata dia memerlukan tujuh orang peguam untuk mewakilinya.

“Saya perlukan tujuh orang peguam untuk mewakili saya,” kata suspek kes tersebut kepada media selepas dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan pada Selasa pagi.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. Tempoh remannya berkuat kuasa bermula 16 hingga 22 April ini.

Turut dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 (memiliki kad pengenalan individu lain) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menggunakan nombor plat kenderaan palsu).

Untuk rekod, suspek melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau dikenali sebagai Farah CIE di Balai ketibaan KLIA 1 pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar sementara satu lagi peluru mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal sehingga terpaksa ditidurkan akibat kecederaan kritikal itu.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan polis di hadapan Hospital Pakar Perdana, Kota Bahru pada pukul 3 petang Isnin.

Sumber