Dendeng Nyet Berapi ciptaan pemengaruh media sosial terkenal Khairul Aming telah menjadi bualan ramai sejak ia dikeluarkan kepada umum.

Bagi mereka yang meminati produk beliau, pasti sanggup untuk beratur membeli makanan beliau.

Bagaimanapun, seorang netizen di media sosial X dengan nama @folkloreswifty telah mengeluh mengenai harga Dendeng Nyet Berapi yang dijual di Sarawak.

Tambahnya lagi, dia memahami kos produksi untuk barang dihantar ke Sarawak, tetapi harga RM39.90 itu adalah harga 3 kali ganda berbanding atas talian yang hanyalah RM14.90.

“Dendeng Nyet Berapi dijual pada harga RM39.90 di sebuah pasar raya di Sarawak.

“Saya tahu penghantaran mahal tetapi RM39.90 hampir x3 harga dalam talian (RM14.99)/

“Saya nak sokong awak @khairulaming tetapi ia terlalu mahal. Saya harap anda boleh menyesuaikan kos anda & menurunkan harga, terima kasih,” katanya.

Kebanyakan netizen di bahagian komen juga meminta Khairul Aming mengambil perhatian mengenai isu ini.

Sebahagian pula mempersoalkan mengapa produk buatan tempatan dijual mahal sedangkan barangan import luar negara pula dijual pada harga yang berpatutan.

Khairul Aming pada Februari yang lalu telah mengumumkan produk kedua beliau iaitu Dendeng Nyet Berapi.

Dihasilkan di kilang kedua beliau dengan adunan resipi yang diteliti beserta bahan masakan berkualiti.

Menawarkan sebanyak 80,000 pek Dendeng Nyet Berapi dengan harga RM14.90 bagi setiap satu pek, siapa sangka jualan yang berlangsung di platform TikTok beliau ini hanya mengambil sepantas 3 minit 39 saat untuk kesemua stok beliau habis terjual.

Tempoh masa sepantas 3 minit 39 saat ini sekaligus memberi jumlah jualan sebanyak lebih RM1.19 juta buat produk kedua beliau yang baru sahaja dilancarkan.

Lebih menarik, rekod yang dihasilkan menjadikan Dendeng Nyet Berapi muncul sebagai produk terpantas berjaya meraih jumlah jualan mencecah 7 angka di TikTok.

Tahniah diucapkan buat Khairul Aming. Semoga produk kedua ini berjaya mengikut jejak langkah Sambal Nyet Berapi yang berjaya meraih jumlah jualan mencecah RM20 juta sepanjang tahun 2023.