Izinkan saya berkongsi pengalaman saya dari seorang yang normal menjalani kehidupan seperti manusia hingga akhirnya mengalami masalah mental yang menyerang dalam diam sepertimana yang dialami oleh semakin ramai orang muktahir ini.

Kita juga baru saja dikejutkan di permulaan tahun baru 2018 ini dengan berita seorang artis tempatan menyerang seorang anggota awam dan akhirnya membuka pekung bahawa telah lama beliau mengalami kemurungan sehingga mengambil barang terlarang yang mengakibatkan impak negatif dalam kehidupan dan karier beliau.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Apakah itu depresi?

Saya melalui satu fasa yang boleh dikatakan terburuk dalam hidup. 6 bulan lamanya saya cuba bertahan sehingga akhirnya dengan rela saya menjalani rawatan psikitiari. Selama 6 bulan tersebut saya menjalani kehidupan dengan kemurungan yang dasyat.

Kerjaya musnah.
Keluarga berantakan.
Kewangan susut.
Kawan mula menjauh.

Segala-galanya hancur. Hingga saya merasakan tiada peluang untuk bangkit semula. Selancarnya juga saya menyalahkan MAHA PENCIPTA yang terlalu kejam kepada saya.

Tiada bahagia berbaki, yang tinggal hanya beban. Zahirnya saya seperti normal. Tetapi hakikatnya di dalam diri ini berperang hingga rasa hampir gila. Saya berperang dengan perasan dan keinginan yang terlampau kuat dan mahu semuanya kembali seperti biasa.

Dan akibatnya ini menjadikan saya seorang pesimis dan paranoid.

Akhirnya saya akur untuk berjumpa dengan kauselor serta menghadiri sesi terapi yang diaturkan oleh salah seorang ahli keluarga. Dari situ barulah saya tahu keadaan saya ini sebenarnya di dalam kemurungan atau lebih tepat DEPRESI.

Secara mudahnya gejala ini lebih kepada cara pemikiran kita yang dipengaruhi emosi sendiri.

Perlu juga untuk anda tahu stress dan kemurungan adalah dua benda berbeza. Tapi masih ramai mengambil ringan simptom yang membawa ke arah gejala ini kerana beranggapan mereka mampu melawan secara bersendirian sedangkan depresi adalah keadaan lebih membawa penyakit berbanding perubahan emosi sementara.

Benar, saya sendiri pernah beranggapan sebegitu, sebolehnya mahu ia berlalu sendiri tanpa bantuan dan lebih gemar bersendirian. Personaliti saya sebagai seorang introvert juga penyumbang kepada keadaan yang lebih teruk.

Saya tidak terlalu terbuka untuk berkongsi apa-apa yang berkaitan dengan diri saya kepada orang. Justeru, pil tidur merupakan kawan baik kerana segala beban yang ada hilang tatkala mata terpejam.

TAPI SAYA SILAP!

Menyendiri dan berseorangan sebenarnya tidak membantu saya untuk keluar dari kepompong kedukaan. Malahan sesi terapi yang dihadiri serta nasihat kaunselor tidak memberi kesan kepada saya.

Hidup seakan terasa berakhir. Dunia mentertawakan diri yang tewas serba serbi. Saya terus mengasingkan diri, menangisi diri, menyalahi Ilahi.

depresi-2

Disedarkan oleh seorang teman

Sehinggalah di satu hari, satu panggilan telefon telah mengubah rentak dan menyusun semula puzzle yang sekian lama bertaburan. Seorang sahabat bertanya khabar, yang entah berapa kali saya tidak mengendahkan panggilan beliau.

Panggilan yang sekian lama tidak saya hiraukan sebelum ini kerana saya malu terlalu banyak berhutang dengan beliau dan berjanji yang akhirnya tinggal janji.

Alangkah terkejutnya saya apabila beliau menyatakan niat hanya untuk bertanya khabar bukannya bertanyakan wang yang telah lama tertangguh. Segala yang terpendam saya curahkan kepada beliau hingga saya sendiri dengan rela hati ingin mendaftar ke wad sakit jiwa.

Tetapi sahabat yang satu ini enggan melihat saya mengalah dengan permainan dan menggesa agar saya bangkit.

INI BUKAN KEGAGALAN! INI UJIAN. UJIAN ILAHI! UJIAN TANDA DIA SAYANG.
SAYANG HAMBANYA.

Tuhan rindukan hambaNYA. Tuhan rindu hamba yang meminta padaNYA, mengadu padaNYA.

Akhirnya entah bagaimana ada satu semangat membuat saya kuat. Saya mahu melawan kemurungan ini sehingga akhirnya tembok positiviti berjaya dibina.

Abang saya pernah berpesan dan ia masih bergema di kepala sehingga kini, “Susah kau buat, senang pun kau buat, kau pilih.”

Itu satu.

Salurkan kesedihan dengan menukar fokus

Yang kedua, saya salurkan kesedihan kepada benda yang saya suka. Sewaktu kecil saya dan kakak gemar mewarna.

Jadi dengan wang yang masih berbaki, saya melangkah ke kedai RM2. Saya membeli set warna KREATI, serta buku mewarna. Walaupun alatan mewarna ini tidak segah seperti saat saya senang dulu, tapi ada satu perasaan puas menyelinap dalam diri  setelah memilikinya. Tapi ion negatif masih ada.

Lama-kelamaan, saya jadi fokus kepada mewarna. Sebab? Saya tidak suka kesan lukisan yang comot dan gemar mengabungkan pelbagai warna ketika mewarna. Saat itulah saya menyedari masalah berwarna lebih besar daripada masalah realiti yang saya lalui.

Dan akhinya habis satu buku saya warna. Ini membuat saya rasa amat berbangga dengan pencapaian yang ada. Masalah berjalan tetapi saya seakan dipesongkan. Saya merasakan kurang cabaran dalma mewarna.

Saya mau yang lebih susah. Kali ini saya pergi beli pula buku crossword. Saya cabar diri menyelesaikan masalah, satu jam, dua muka surat. Sekiranya berjaya, saya akan ubah kepada cabaran yang lebih susah.

Dalam keadaan cuba menyelesaikan crosswords, saya terfikir, KENAPA NAK TERKENANG-KENANG BENDA YANG BOLEH MERACUNI KAU?

BENDA SEMURAH RM2 MAMPU MEMBAHAGIAKAN KAU. APA YANG KAU CARI DALAM RM BERJUTA?

Ampuni aku tuhan

Ia bagai halilintar menyentap fikiran saya. Saya harus perbetulkan diri semula. Sedangkan Nabi yang maksum diuji, apatah lagi kita yang terumbang ambing dosa dan pahalanya.

Segalanya kini berpatah kepada titik mula. Dan saya sedar sebenarnya saya tidak terlewat. Cuma sedikit tersasar.

Rembesan airmata bertalu dalam solat taubat. Saya memohon keampunanNYA yang tidak bertepi. Dulu dunia didahulukan akhirat diringan-ringankan. Bila diri ini diihempap bertubi dengan dugaan, buku bertemu juga dengan ruas akhirnya.

Di satu ketika, ada satu artikel lalu di news feed Facebook saya yang seakan mengerti apa yang sedang saya lalui. Dan yang paling terkesan kepada diri saya daripada artikel tersebut adalah ayat ini,

“Allah tidak pernah meninggalkan hambaNYA. Tetapi kita yang memilih meninggalkanNYA.”

Dalam lafaz doa, saya akui redha-seredhaNYA ujian DIA. Ujian DIA menjadikan hambaNYA meraba dalam kegelapan untuk dihidupkannya semula dengan keimanan. Sedikit demi sedikit, DIA membuka jalan. Memberi ruang semula untuk saya bernafas.

Alhamdulillah, segalanya kini kembali ke paras normal semula. Tanda jatuh bukan untuk selamanya. Dalam kalamNYA sudah tertulis,

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuaian dengan kesanggupannya.”

Saya pasti ramai diluar sana ada yang lebih teruk diuji YANG MAHA ESA. Apa yang saya telah pelajari, sehebat mana kita, segah mana kita, ada lompongnya habluminallah.

Itu lah yang sebenarnya membawa kita ke kancah yang memudaratkan. Kembalilah kepadaNYA kerana DIA sebaik-baik perancang.

Yakin. Biznillah.