Di kala anda sedang dalam perjalanan ke tempat kerja, mesti pernah sekali anda terdetik untuk bertukar perkerjaan lain. Mungkin anda ingin mencari kerja yang lebih baik dari segi gaji bulanan, mungkin anda ingin mencari kerja yang lebih mudah dari kerja anda sekarang dan banyak lagi kemungkinan kerja lain yang bermain di fikiran anda.

Tetapi pernahkah anda terfikir tentang pekerjaan orang lain? Adakah bayaran mereka setimpal dengan kerja yang mereka lakukan? Zakir Chowdhury adalah jurugambar rasmi untuk Barcroft Media dan beliau ingin berkongsi kepada dunia antara pekerjaan paling mencabar di Bangladesh; kerja mencuci longkang bawah tanah.

Lelaki ini adalah salah seorang pekerja untuk Dhaka City Corporation. Kerja beliau adalah mencuci longkang bawah tanah untuk mengelakkan ianya dari tersumbat dan menyebabkan banjir. Kerja mereka bertambah mencabar apabila tiada peralatan khusus dan pakaian keselamatan diperuntukkan kepada mereka untuk menyelam ke dalam; not even a goggles! Bagaimanalah mereka melihat di dalam sana.

Tanpa pakaian keselamatan, mereka memang terdedah dengan kuman dan bakteria yang ada di dalam longkang dan sudah ramai yang meninggal dunia kerana faktor kesihatan akibat pekerjaan ini. Bau busuk dari longkang ini pula sudah sebati dengan mereka.

Disebabkan populasi bandar Dhaka yang kini melepasi 14 juta penduduk, bandar berkenaan kini sering banjir kerana sistem perparitan yang tidak bagus. Dalam satu perkembangan, pihak berkuasa sedang mencari solusi untuk menyelesaikan masalah longkang ini di mana mereka akan menaik taraf sistem perparitan yang sedia ada.

Sementara bandar Dhaka menunggu untuk sistem perparitan baharu, buat masa ini mereka perlu bergantung kepada unsung hero mereka yang bekerja keras untuk memastikan bandar mereka sentiasa dalam keadaan baik. Berapa pun bayaran yang mereka terima, ianya pastinya tidak setimpal dengan risiko pekerjaan ini.

Apa pun kerja anda sekarang, bersyukurlah kerana ada insan yang mempunyai kerja yang lebih teruk daripada anda. Jika diberi gaji lumayan pun untuk kerja mencuci longkang secara manual ini, saya pasti ramai yang akan fikir dua kali.

Sumber