Pernah atau tidak anda berada dalam situasi sedang seronok memilih barang penjagaan diri di farmasi, mata terpaku melihat label potongan harga yang besar, tetapi bila sampai di kaunter bayaran jumlahnya terasa jauh berbeza?
Kebanyakan daripada kita mungkin memilih untuk pejam mata dan terus membayar kerana segan melihat barisan panjang pelanggan di belakang.
Isu tanda harga dan potongan promosi yang didakwa mengelirukan pengguna ini akhirnya mendapat perhatian pihak berkuasa apabila tular satu video pemeriksaan mengejut oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah cawangan rangkaian farmasi dan penjagaan diri popular di negara ini.
Detik Terbongkar Di Rak Jualan
Menerusi rakaman yang tular di media sosial, dua orang pegawai penguat kuasa KPDN, iaitu Puan Baizura dan Encik Faris, dilihat melangkah masuk ke dalam premis berkenaan untuk bertemu dengan pihak pengurusan cawangan.
Niat mereka jelas, iaitu mahu meneliti kesahihan promosi jualan yang dipamerkan di sekitar rak barangan.
Pemeriksaan awal di bahagian suplemen kesihatan terus membongkar kekeliruan pada label tawaran.
Encik Faris menunjukkan sekeping label promosi yang memaparkan angka diskaun 40 peratus bersaiz besar, namun di bahagian bawahnya tertulis kadar 43 peratus, selain penggunaan perkataan seperti up to yang samar.
“Promosi diskaun yang ada dekat sini ni mengelirukan orang dekat luar, mempermainkan perasaan orang kat luar,” kata Encik Faris secara terus terang mengenai kekeliruan tersebut.
Situasi bertambah pelik di rak kosmetik apabila Puan Baizura pula mengesan corak yang berbolak-balik.
Ada label promosi yang mengutamakan tulisan kecil, manakala di tempat lain pula menggunakan angka besar sehingga menyukarkan pembeli memahami diskaun sebenar.
“Tadi offer punya tengok yang kecil, yang sekarang ni offer dia tengok yang besar pula,” luah Puan Baizura semasa memeriksa produk bedak asas yang memaparkan percanggahan antara diskaun 50 peratus dan 60 peratus.
Di Rak Tulis 30 Peratus, Bila Imbas Cuma 15 Peratus
Kekeliruan bukan sahaja terhenti pada teks pelekat, malah kemuncak pemeriksaan berlaku apabila alat pengimbas harga milik staf premis digunakan untuk memeriksa produk mandian jenama Naturals by Watsons.
Di rak jualan, terpampang jelas tanda tawaran potongan harga sebanyak 30 peratus dengan harga promosi RM19.12.
Namun, apabila staf mengimbas kod bar barangan itu pada sistem, paparan skrin peranti menunjukkan produk tersebut sebenarnya hanya menerima potongan diskaun sebanyak 15 peratus, dengan harga jualan RM20.32.
“Tembak ni tak kena, tembak ni tak kena. Sekarang saya sebagai pengguna, saya nak 30 peratus, bolehlah? Jadi awak bayangkan setiap sen yang dia orang keluarkan, sepatutnya dia boleh dapat 30 peratus, tapi mereka dapat berapa? 15 peratus sahaja,” tegas Encik Faris mempersoalkan hak pengguna yang terjejas akibat ketidaktelusan sistem berkenaan.
Hak Pengguna Dan Risiko Denda RM250,000
Dalam sesi advokasi tersebut, staf premis turut mengemukakan papan polisi dalaman kedai berkaitan Kawalan Harga dan Antipencatutan.
Menurut polisi itu, sekiranya berlaku percanggahan harga antara paparan rak dan sistem kaunter, pembeli sebenarnya berhak menuntut harga atau diskaun terendah yang dipamerkan, ataupun meminta bayaran balik sepenuhnya.
Puan Baizura seterusnya meminta pihak cawangan menunjukkan dokumen Notis Jualan Murah bagi membuktikan sebarang aktiviti potongan harga yang dijalankan telah didaftarkan secara sah mengikut ketetapan undang-undang.
Beliau turut menitipkan peringatan tegas mengenai implikasi perundangan terhadap premis yang mengelirukan pembeli.
“Awak tahu tak jika didapati bersalah, pihak premis akan dikenakan denda RM250,000 atau tiga tahun penjara,” jelas Puan Baizura kepada pihak pengurusan.
Baguslah kpd pergi kat watson check harga dengan diskaun macamni. Dah banyak kali kena. Masa ambil harga lain bila bayar harga lain 😅 pic.twitter.com/jWNhuMK6Eb
— kamaghul deghaman (@kamaghul) November 3, 2026
Sebelum mengakhiri pemeriksaan, pegawai KPDN memberikan nasihat agar pihak premis segera mengambil iktibar dan membetulkan paparan diskaun serta tanda harga agar selaras dan tepat dengan apa yang dicaj di kaunter bayaran.
Ruang Komen Panas, Netizen Luah Rasa Terpendam
Video pemeriksaan tersebut mencetuskan perbincangan hangat di laman X, dengan ribuan pengguna tampil berkongsi pengalaman peribadi mereka yang sering berdepan dilema serupa.
Seorang pengguna, @heartuarist, meluahkan rasa letih dengan taktik peratusan promosi yang mengelirukan sehingga membuatkan pembeli pasrah di kaunter.
“All those percentage are deceiving. Tak tahu mana satu yang diskaun mana satu promosi, sampai-sampai kaunter lepas beratur belakang 7 orang, bayar je le,” tulisnya.
Seorang lagi netizen, @kita_united, mengakui awalnya cuba berprasangka baik sebelum melihat sendiri semakan pengimbas sistem.
“Mula-mula aku nak husnudzon, maybe yang besar tu promo member, yang kecil tu non-member. Sekali yang last sekali tu memang kantoi habis,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan penguat kuasa yang hanya memberikan nasihat tanpa mengeluarkan saman serta-merta turut menimbulkan perdebatan. Pengguna seperti @dilarangbodohye dan @rudirudy123451 menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendakwa wujud layanan berbeza antara perniagaan korporat besar berbanding peniaga kecil.
“Hahaha company besar nasihat. Kedai peniaga kecil semua terus saman tak bagi muka langsung,” luah salah seorang warga maya.
Namun, ada juga pihak yang bersimpati dengan nasib pekerja cawangan bawahan. Pengguna @ezwah_nrl888 mengingatkan bahawa isu promosi selalunya diatur oleh pihak atasan pengurusan.
“Kesian manager kedai. Selalunya bos atas manager yang tentukan cara display discount,” ulasnya.
Ramai pengguna media sosial turut menggesa agar KPDN tidak hanya memeriksa satu premis, malah memperluaskan operasi pemeriksaan tanda harga ke rangkaian lain seperti Guardian, pasar raya besar Lotus’s, Parkson, serta platform jualan dalam talian demi memastikan hak poket pengguna sentiasa terlindung.