Brahim Diaz meluahkan keterujaannya menjelang musim baharu selepas menyertai latihan pramusim Real Madrid di bawah kendalian Jose Mourinho.
Pemain tengah menyerang itu turut berkongsi pengalamannya dikendalikan oleh Jose Mourinho, sambil mendedahkan tahap tuntutan tinggi yang diharapkan oleh pengurus kelahiran Portugal tersebut dalam usaha memburu kejuaraan musim 2026/27.
Los Blancos berada dalam keadaan tidak menentu sejak dua musim terakhir apabila gagal meraih sebarang piala dalam kempen 2024/25 dan 2025/26.
Keadaan itu menyebabkan Florentino Perez mendapatkan khidmat Mourinho untuk mengembalikan kegemilangan kelab gergasi tersebut.
Brahim Diaz Teruja Bekerja Bersama Mourinho
“Ia berjalan dengan sangat baik kerana dia dan barisan kejurulatihannya membuat persiapan yang sangat rapi,” ujar Brahim Diaz menurut sumber laporan Goal.
“Kita semua sudah tahu siapa Mourinho, segala kejayaan yang telah dimenanginya dan kami mahu terus meraih kemenangan bersamanya.”
“Dia memberitahu kami supaya bermain dengan intensiti tinggi, bahawa kami memiliki banyak kualiti secara individu dan mampu membuat perbezaan.”
“Tetapi pada akhirnya, kerja keras adalah perkara yang paling penting. Kami perlu berkorban antara satu sama lain dan menjadi sebuah pasukan.”
Dengan musim baharu domestik yang semakin hampir, Diaz kini hanya memberi tumpuan untuk memaksimumkan sumbangannya kepada pasukan sambil memburu kejayaan bersama-sama.
Pemain serba boleh itu bertekad untuk memberikan segala-galanya di atas padang bagi menghiburkan penyokong serta membantu pasukan meneruskan misi memburu lebih banyak trofi.
“Untuk berada pada tahap 100 peratus dan membantu pasukan. Jelas sekali saya akan memberikan yang terbaik yang saya mampu.”
“Saya juga mahu melihat semua madridista gembira dengan permainan saya. Dari sudut individu, saya akan memberikan versi terbaik diri saya dalam setiap perlawanan.”
“Perkara paling indah dalam bola sepak secara berpasukan adalah memenangi trofi. Ini adalah Real Madrid dan kami perlu memenangi trofi,” ujar beliau lagi.