Seorang ibu muda di Thailand terpaksa menempuh perjalanan sejauh 450 kilometer bersama bayi berusia 8 bulan setelah diusir oleh ibu mertuanya, lapor ThairathTV.
Kisah ini mendapat perhatian ramai setelah ditemui oleh wartawan tempatan.
Ibu muda berusia 30 tahun ini dilihat menunggang motosikal Honda Wave merah tanpa plat nombor, dengan semua barang miliknya diikat di bahagian belakang motosikal.
Anak kecilnya pula diletakkan dalam carrier bayi yang diikat rapi di bahagian hadapan.
Ketika ditemui wartawan di kawasan Prachin Buri sekitar jam 4.30 petang, beliau memberitahu bahawa destinasinya adalah Chonburi, yang bermakna dia masih mempunyai baki perjalanan sejauh 150 kilometer lagi.
Wanita tersebut memulakan perjalanan sejak pukul 8 pagi dari Chaiyaphum, kira-kira 300 kilometer jauhnya dari tempat mereka ditemui.
Dengan hanya baki 500 baht (sekitar RM60), beliau menolak sebarang bantuan wang yang ditawarkan oleh wartawan.
Menurutnya, keputusan untuk meninggalkan rumah adalah berpunca daripada pertelingkahan besar dengan ibu mertuanya.
Difahamkan, pasangan ini pada awalnya bekerja di Chonburi dan meninggalkan anak mereka di bawah penjagaan ibu mertua.
Namun, keadaan bertambah rumit apabila adik iparnya terlibat dalam kemalangan serius yang memerlukan pembedahan otak.
Akibatnya, ibu mertua terpaksa menjaga anak kecil dan anaknya yang masih dalam pemulihan secara serentak.
Sebagai isteri yang prihatin, wanita ini nekad berhenti kerja demi membantu ibu mertuanya yang kini memikul beban berat.
Walau bagaimanapun, tekanan hidup dan tanggungjawab yang bertambah besar membuatkan ibu mertuanya sering melampiaskan kemarahan kepada menantunya.
Selepas menceritakan masalah ini kepada suaminya, suami wanita tersebut cuba menenangkan keadaan dengan menjadi orang tengah.
Namun, campur tangan suaminya mengundang kemarahan ibu mertua, yang lantas memberi kata putus kepada menantunya untuk meninggalkan rumah jika merasa tidak puas hati.