Bayangkan sebuah mercu tanda yang dibina untuk kemudahan dan kebanggaan rakyat kini dicemari dengan deruman enjin, bau asap ekzos, dan aksi lagak ngeri murahan.
Untuk rekod, bangunan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa ini pada asalnya mula beroperasi sejak 12 September 2002, dan baru sahaja dinaik taraf dengan fasiliti serba moden yang dibuka pada 1 Mei 2024 lepas demi menampung jutaan penumpang.
Namun, amat mendukacitakan apabila kawasan yang sepatutnya menjadi pintu masuk utama pelancong ke Negeri Cik Siti Wan Kembang ini, tiba-tiba bertukar wajah menjadi ‘litar haram’.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @kacakasal495, didapati visual sekumpulan anak muda dengan selambanya memenuhi ruangan pintu untuk mengambil pelawat. Mereka kelihatan sedang rancak berbual seolah-olah serta menjadikan ia sebagai tempat tarikan baharu.
Didawka aksi sekumpulan mat rempit bukan sahaja memekakkan telinga dengan bunyi deruman ekoran melakukan ‘rem’, malah tindakan biadab mereka menunggang melawan arus secara terang-terangan di laluan utama lapangan terbang benar-benar mengundang maut.
Kemudahan yang dinaik taraf bernilai jutaan ringgit ini seolah-olah hilang nilainya apabila dicemari dengan mentaliti kelas ketiga.
@kacakasal495 Gapo dio ni??? Siap duk main rem lagi.G mari lawan arus.Langkah awal kena diambil ni oleh pihak pengurusan takut koho paroks. #airportkotabharu #report #pdrm #viral
“Apakah yang sedang berlaku ini? Mereka bukan sahaja memulas pendikit enjin dengan kuat, malah turut menunggang melawan arus. Tindakan awal perlu diambil segera oleh pihak pengurusan sebelum keadaan menjadi semakin teruk,” ujar penghantar asal.
Sementara di ruangan komentar, orang ramai turut membangkitkan isu imej bangunan mercu tanda baharu itu telah terjejas ekoran kehadiran sekumpulan motor yang didakwa mengganggu ketenteraman.
Oleh itu, ramai menasihati agar pihak berkuasa untuk memandang serius hal ini dengan mengambil tindakan tegas serta juga mengimplementasikan sistem berbayar sebagai langkah proaktif.