Pasukan kebangsaan Indonesia terpaksa akur dengan kekalahan tipis 2-3 di tangan Arab Saudi dalam aksi pembukaan Kumpulan B pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia.

Walaupun tewas, jurulatih skuad Garuda, Patrick Kluivert, menegaskan bahawa keputusan itu tidak menggambarkan prestasi sebennar pasukannya.

“Kami berdepan pasukan yang hebat dengan kualiti teknikal tinggi dan pemain-pemain yang sukar untuk dikawal,” tegas beliau.

Kluivert menambah: “Kami bermula dengan cemerlang, tapi bolos dengan gol-gol mudah. Walau begitu, pemain saya berjuang dengan semangat tinggi.”

Indonesia bermula garang apabila Kevin Diks membuka jaringan menerusi sepakan penalti minit ke-11.

Namun, kelebihan itu tidak kekal lama selepas Arab Saudi bangkit menjaringkan dua gol sebelum rehat menerusi gerakan pantas yang menembusi bahagian kanan pertahanan Indonesia.

Pada minit ke-62, Ferras Albrikan menjadikan kedudukan 3-1 buat Arab Saudi..

Pada minit ke-88, Kevin Diks sekali lagi mencetak gol menerusi 1 lagi sepakan penalti untuk merapatkan jurang gol.

Namun Arab Saudi tetap berjaya memastikan kemenangan 3-2 milik mereka.

Kluivert akui kekalahan ini sedikit mengganggu momentum pasukannya. Namun dia juga yakin mereka akan dapat mengatasi tekanan itu.

Kekalahan ini sememangnya satu tamparan buat skuad Garuda yang kini berdepan laluan sukar menuju ke Piala Dunia 2026. Namun Kluivert tetap positif dan mahu pasukannya bangkit dalam aksi seterusnya.