Kelab Turkish Super Lig, Besiktas telah mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontrak pemain sayap muda, Emirhan Delibas dengan serta-merta.

Hal ini kerana tular berita mengenai pemain berusia 21 tahun itu yang dikatakan mempunyai akaun di aplikasi temu janji dalam talian.

Baca Juga:

Perkembangan tersebut disahkan wartawan bola sepak yang cukup terkenal dengan kata-kata ‘Here We Go’ iaitu Fabrizio Romano di laman sosial miliknya.

Beliau bagaimanapun berkeras menafikan perkara tersebut dengan mengatakan ia merupakan akaun palsu. Tambahan pula umurnya pada profil akaun tersebut diletakkan sebagai 24 tahun.

Namun, walaupun menafikan perkara itu, Emirhan tetap mencapai persetujuan bersama dengan pihak pengurusan Besiktas untuk meninggalkan kelab itu.

“Kami telah berpisah dengan pemain bola sepak profesional, Emirhan Delibas dengan persetujuan bersama. Kami mendoakan kejayaan beliau di masa hadapan,” kenyataan yang dikeluarkan Besiktas berhubung perkara tersebut.

Malah, Emirhan Delibas turut mengeluarkan kenyataan bagi pihaknya di laman Instagram peribadi milik beliau yang berbunyi:

“Saya menolak fitnah yang dibuat oleh akaun palsu dan ingin menyatakan kesetiaan saya kepada pasukan saya tidak boleh dipertikaikan.”

“Besiktas adalah tanggungjawab untuk saya. Cinta anda telah menjadi motivasi terbesar saya,” tambah beliau lagi.

Mula bersama Besiktas sejak berusia tujuh tahun, Emirhan telah membuat satu penampilan skuad senior ketika diturunkan selama sembilan minit pada perlawanan menentang Kasimpasa.