Orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan empat produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan.

Memetik laporan Buletin TV3, produk terbabit adalah Bestie Moisturizer Cream dan Abyra Seaweed Skin Care-Seaweed Cell Renewal Night Cream masing-masing mengandungi merkuri.

Baca Juga:

Selain itu, produk Gerbera Beauty-Treatment & Repairing Night Cream dikesan terdapat hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, manakala Gerbera Beauty-Whitening Night Cream mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia

“Penjual dan pengedar perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegas Dr Muhammad Radzi.

Sumber