Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mengesahkan produk gula-gula pelangsing badan jenama Apple S mengandungi racun berjadual.

Racun dimaksudkan ialah sibutramine yang merupakan sejenis ubat digunakan untuk mengawal selera makan.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan KKM, Sibutramine merupakan sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan (appetite suppressant).

Ia digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan.  Selain itu, ubat ini juga merupakan bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

Gula-Gula Pelangsing Badan
Gula-Gula Pelangsing Badan Apple S.

Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.

Selain daripada kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya.

Dalam pada itu, produk tersebut didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.

Oleh itu, produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Amaran KKM buat penjual yang masih mempunyai stok gula-gula pelangsing badan Apple S

KKM juga mengingatkan bahawa semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

Gula-Gula Pelangsing Badan
Kredit Foto: KKM

Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk tersebut serta merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang.