Pelakon dan pengarah popular, Farid Kamil Zahidi pada hari ini dilaporkan terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana kesalahan menggunakan dadah, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir oleh Farid Kamil, 41, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Walau bagaimanapun, Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas Farid Kamil serta memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Difahamkan pelakon filem Remp-It 2 itu membayar denda berkenaan.

Sumber: utusan

Kamaludin dalam keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

Beliau berkata, tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan hukuman berkenaan setimpal dengan kesalahan dilakukan ketika itu serta tiada aspek pemberatan, contohnya tidak ada kesalahan lampau atau sebagainya.

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung pada fakta kes itu.

“Dalam kes ini, kami mendapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu, serta memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan bawah AADK dikekalkan,” katanya.

Turut hadir di mahkamah ialah isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle, dan adik Farid Kamil, Fadzil.

Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda, menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

“Saya gembira kerana kes ini telah selesai pada peringkat rayuan.

“Kini, saya boleh memfokus penggambaran filem seterusnya berjudul ‘Anwar’ yang kini berada pada peringkat akhir dan bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakili beliau.

Farid Kamil diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang.

Sumber