Walaupun mencapai populariti berlipat kali ganda dan mendapat liputan daripada pelbagai media tempatan sejak beberapa minggu ini, namun ada kisah kurang enak untuk didengari yang berlaku kepada pemilik channel Youtube Sugu Pavithra.
Tatkala jumlah tontonan dan langganannya meningkat mendadak, namun kecoh di media sosial baru-baru ini apabila terdapat dakwaan yang mengatakan pasangan suami isteri itu dibuli secara atas talian (cyber bully) kerana video resipi yang dihasilkan mereka.
Pasangan suami isteri itu sebelum ini memuat naik video-video masakan,resipi serta tips berkait penyediaan makanan mengikut cara mereka sendiri dan mendapat penerimaan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Malah resipi yang dibekalkan beliau juga menjadi ikutan untuk Youtuber berasal daripada Jepun dalam menyediakan masakan kari yang turut dimuat naik ke channel mereka sebelum ini.
Namun, kejayaan yang dicapai pasangan suami isteri ini bagaimanapun sedikit tercemar apabila dikatakan ada sesetengah yang melakukan cyber bullying melalui komen-komen yang ditinggalkan di video yang dimuat naik mereka.
Perkara itu mula menjadi topik hangat dalam kalangan netizen selepas ia diketengahkan salah seorang netizen baru-baru ini yang mengepilkan satu tangkap layar daripada individu yang menjelaskan mengenai perkara itu di channel Sugu Pavithra.
https://twitter.com/arxxxxmand/status/1260498324785938436?s=20
Melalui ciapan yang dibuat di Twitter itu, terdapat sesetengah individu yang dikatakan tidak berpuas hati dengan kandungan yang diketengahkan oleh Sugu Pavithra serta memberikan pesanan agar mereka tidak meneruskan perkongsian resipi yang difahamkan ‘bersifat rahsia’.
Bagaimanapun, semakan kami untuk mencari komen yang dikatakan bersifat ‘cyber bully’ itu bagaimanapun gagal untuk ditemui di beberapa video di channel Sugu Pavithra dan tidak dapat dipastikan sama ada komen-komen tersebut telah dipadam.
Ini kerana menurut perkongsian tangkap layar atau screenshot yang disertakan bersama ciapan tersebut, ia jelas menunjukkan penjelasan mengenai isu tersebut berasal berasal dari ruangan komen channel itu kerana ia turut menerima reaksi daripada Sugu Pavithra.
Tetapi sebaliknya apa yang kami temui melalui semakan yang dibuat di ruangan komen video-video mereka hanyalah kata-kata semangat yang diberikan seluruh rakyat Malaysia agar mereka terus menghasilkan kandungan-kandungan seperti yang dilakukan sebelum ini.
Sejujurnya, membaca komen-komen ini akan membuatkan kita untuk tidak mempercayai dakwaan-dakwaan yang dibuat sebelum ini kerana apa yang kelihatan hanyalah sikap kekitaan yang sangat kuat sesama rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, jika dakwaan seperti yang ditularkan netizen ini benar-benar berlaku, maka ia adalah satu perkara yang sangat mengecewakan kerana kandungan-kandungan yang dimuat naik mereka sebelum ini dilihat begitu berjaya memupuk semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap video dan perkongsian ringkas kehidupan mereka sekeluarga telah berjaya menambat setiap hati rakyat Malaysia yang menonton tanpa mengira latar belakang.
Jika anda terlepas membaca perkongsian kami mengenai Sugu Pavithra sebelum ini, klik pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai mereka.
Hanya Rakam Menggunakan Telefon, ‘Channel’ YouTube Masakan Wanita Ini Kini Dibayar Google
Resipi Sugu Di YouTube Jadi Panduan Pasangan Jepun Ini Hasilkan Kari Ayam