Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools menjadi antara pemain yang menerima gaji tinggi bersama kelabnya yang ketika ini bersaing di Liga Thailand iaitu Buriram United.

Baru-baru ini, salah satu laman yang mempunyai data gaji pemain bola sepak di seluruh dunia iaitu Salary Sport mengeluarkan senarai gaji yang diterima oleh pemain Buriram.

Baca Juga:

Menurut Salary Sport, Cools memperoleh €5,400 (RM27,300) untuk seminggu dan gaji tahunannya adalah sebanyak €280,800 (RM1.4 juta) dimana jumlah ini lebih tinggi berbanding Theerathon Bunmathan dimana bekas pemain Yokohama F. M yang juga ketua pasukan Buriram itu mendapat €187,200 (RM18,200) seminggu.

Malah, Cools menerima gaji yang jauh lebih tinggi berbanding pemain Buriram yang beraksi dalam skuad kebangsaan Thailand seperti Narubadin Weerawatnodom, Pansa Hemviboon dan Supachai Jaided.

Gaji Dion Cools yang diterimanya ketika ini sekaligus menjawap soalan mengapa Johor Darul Ta’zim (JDT) belum mendapatkan khidmat pemain itu.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris pernah memberi bayangan bahawa pemain kebangsaan itu mungkin akan menyertai skuad Harimau Selatan satu hari nanti.

“Gaji Dion Cools terlampau mahal bagi kami. Buriram bayar gaji yang terlalu mahal tetapi saya tahu dia ingin bermain di Malaysia dan saya tak rasa pemain itu akan main dengan pasukan lain.

“Kami mempunyai hubungan baik. Dia tahu berkenaan projek, infrastruktur dan agenda di JDT dengan jelas. Satu hari nanti Dion Cools akan menjadi pemain JDT,” katanya dalam program Nindia Bola di Astro Arena pada Oktober lalu.