Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools menegaskan Malaysia wajib mencatat kemenangan ke atas Taiwan pada aksi kedua peringkat kumpulan D saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 21 November ini.

Menurut Cools, ianya tidak berbaloi sekiranya pasukan negara gagal menewaskan Taiwan selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa ketika menentang Kyrgyzstan pada Khamis lalu.

Baca Juga:

Taiwan kini berada di kedudukan ke-151 dalam ranking FIFA manakala pula Malaysia berada di kedudukan ke-137. Kedudukan pasukan negara dijangka berubah sekiranya mengutip satu lagi kemenangan.

“Semua pemain akan kembali berlatih kerana perlawanan selepas ini sangat penting yang mana kami perlukan tiga mata kerana ianya tidak berbaloi menang ke atas Krygyztan kemudiannya tewas kepada Taiwan.

“Kami menghormati lawan kerana sedar ianya bukan perlawanan yang mudah kerana kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku terutama apabila bermain di tempat lawan,” katanya dipetik dari laporan Flash Sukan.

Dion Cools sendiri menjaringkan dua gol ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan dimana kedua-dua jaringan beliau hadir menerusi sepakan penjuru yang diambil oleh Arif Aiman.

Selain Cools, dua lagi jaringan dihasilkan menerusi gol sendiri pemain pertahanan lawan dan juga Faisal Halim pada lewat permainan sekaligus memberikan kemenangan 4-3 kepada Malaysia.

Chinese Taipei tewas dengan keputusan 3-0 kepada Oman pada perlawanan pertama kumpulan dan sudah pasti pasukan itu mahu bangkit sekaligus mencatat mata pertama dalam saingan kelayakan kali ini.

Satu lagi perlawanan dalam kumpulan D membabitkan Kyrgyzstan yang akan menerima kunjungan Oman di laman sendiri.