Dalam situasi yang membingungkan, penutupan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan stesen KTM Padang Besar di Malaysia dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) telah menjadi punca kekecewaan ramai pengguna.
Penutupan itu, yang pada mulanya diumumkan pada 2020 atas sebab keselamatan, telah menyaksikan beberapa siri penutupan sehingga meninggalkan orang ramai bingung bila agaknya jambatan ini akan dibuka semula.
Baca Juga:
Bagi mereka yang memilih laluan kereta api, tren antara bandar KTM ke Padang Besar, Perlis, diikuti dengan kereta api ulang-alik RM6 ke stesen kereta api Hat Yai di Thailand, menjadi pilihan ramai.
Walau bagaimanapun, penutupan jambatan pejalan kaki telah mengganggu perjalanan ramai pengguna, sehingga memaksa pengembara sama ada berjalan dalam jarak yang agak jauh atau bergantung kepada teksi atau Grab untuk sampai ke Kompleks ICQS.
Pendedahan terbaru oleh seorang pengguna media sosial, @maxzchua, di X (dahulunya Twitter), menunjukkan bahawa penutupan jambatan tersebut tidak menentu.
Dh update ke 30 April. 🤣🤣 https://t.co/L3HaYQr55H pic.twitter.com/hfPiRfFAmn
— Maxie (@maxzchua) January 31, 2024
Dalam satu siri catatannya di media sosial, beliau berkongsi imej lima notis berbeza yang diletakkan oleh KTM di jejantas tersebut dengan setiap satu notis diletakkan satu tarikh pembukaan yang berbeza.
Notis itu menunjukkan garis masa pembukaan yang dijangkakan, bermula dengan 30 Oktober 2023, diikuti dengan tarikh berikutnya pada 30 November 2023, 30 Disember 2023, 30 Januari 2024, dan terkini adalah 30 April 2024.
Perubahan berterusan dalam jangkaan tarikh pembukaan telah membuatkan pengguna bingung dan berasa seperti ada yang tidak kena sehingga menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan kebolehpercayaan maklumat yang diberikan oleh KTM.
Situasi itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai kecekapan infrastruktur rentas sempadan dan kesan terhadap industri pelancongan di rantau ini.
Setakat laporan ini ditulis, tiada apa-apa penjelasan daripada pihak KTM apa sebenarnya yang berlaku sehingga penutupan berpanjangan jejantas tersebut serta tarikh pembukaan yang kerap ditukar-tukar.