Netizen Asean berterima kasih dengan peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam usaha gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Semalam Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa: “Alhamdulillah, dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui gencatan senjata mulai tengah malam ini.

“Inilah bukti nyata kekuatan diplomasi ASEAN yang berpaksikan muafakat, rundingan dan prinsip kemanusiaan. Malaysia bukan sekadar memimpin, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara, tuan rumah dan saksi kepada kejayaan persefahaman bersejarah ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan serantau dan kuasa-kuasa besar yang turut menyokong usaha damai ini.

“ASEAN kekal bersatu dan berprinsip. Sama-sama kita doakan rantau ini kekal aman, stabil dan makmur demi masa depan bersama.”

Kejayaan Malaysia menjadi pendamai kepada Kemboja dan Thailand mendapat pujian netizen dan media antarabangsa.

Netizen berkata: “Syabas Malaysia kerana menjadi orang tengah dalam gencatan senjata. Syabas juga kepada Kemboja dan Thailand kerana setuju untuk gencatan senjata.”

Namun seperti biasa, masih ada puak yang memperlekehkan mana mana negara Asia yang berjaya menjadi pendamai terutama sekali  negara Asean  seperti Malaysia.

Malah ramai yang mengagungkan bahawa Trump adalah punca sebenar kenapa Thailand dan Kemboja setuju dengan gencatan senjata.

Komen itu dibidas netizen dari Asia Tenggara terutamanya.

Netizen berkata: “Nak tergelak dengar ‘disokong Trump’. Kalau macam tu, kenapa Malaysia tidak tunggu delegasi Amerika Syarikat datang menyelesaikan konflik?”

Dr Ismail Sabavon membidas pihak yang terlalu mengagungkan blok barat ini. Ismail berkata: “Apabila negara Asia menyelesaikan masalah tanpa campur tangan Barat. Keamanan benar benar berlaku.

“Tiada pengeboman, tiada agenda, tiada ‘serangan udara’ keamanan. Yang ada hanya diplomasi. Harap ini menjadi contoh.”

Yang lain menganggap Malaysia baru sahaja menunjukkan betapa tidak bergunanya PBB dalam menjadi pendamai kepada mana mana negara yang bertelagah.

“Gencatan senjata tanpa tekanan global? Malaysia baru sahaja menunjukkan kepada dunia betapa tidak bergunanya PBB.”

Mereka merujuk kepada PBB yang biasanya sangat lembab dan teruk dalam isu gencatan senjata. Dan sentiasa akur dengan tekanan pihak tertentu.

Terutama sekali apa yang berlaku di Gaza. Di mana PBB kerap mendapat kritikan kerana gagal bertindak lebih tegas dan pantas.

Yang lain menyindir: “Donald Trump dah tahu ke pasal perkara ini? Kalau dia tahu, mesti dia akan menyibuk.”

Yang seterusnya berkata: “Kita tunggu sahaja dalam beberapa hari ini, Trump akan ‘claim’ bahawa dia adalah tokoh pendamai sebenar.”

Seterusnya ramai yang memuji semangat ASEAN yang ditunjukkan negara negara Asia Tenggara.

“Ini bukti semangat persaudaraan sesama ASEAN sangat kuat. Bergaduh sekejap terus rasa kesal dan bermaafan,” tulis yang lain.

Netizen juga memuji Malaysia sebagai negara yang selayaknya menjadi Pengerusi ASEAN. Dengan berfungsi sesuai dengan tanggunjawabnya.