Bagi sesiapa yang membesar dan melayari media sosial sedekad kebelakangan ini, wajah serta suara Simon Kaggwa Njala pasti bukan sesuatu yang asing di ruangan suapan internet.
Wartawan penyiaran terkenal dari Uganda yang mencetuskan fenomena global menerusi klip temu bual ikonik “Why are you gay?” itu disahkan telah menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.
Kehadirannya bukan sahaja mengejutkan warga tempatan, malah mencetuskan keterujaan luar biasa di pelbagai platform media sosial.
Disambut Hujan Tropika Di Bungalow 37
Simon mengumumkan ketibaannya menerusi satu perkongsian video di akaun Instagram rasminya, simonkaggwanjal. Menariknya, langkah pertamanya di ibu kota diraikan dengan cuaca hujan tropika yang cukup lebat.
Sambil tersenyum lebar dan basah disirami rintik hujan tanpa memegang sebarang payung, beliau sempat merakam suasana sekitar lokasi persinggahannya.
“Kawan-kawan, saya kini berada di Malaysia dan saya basah kuyup! Kehadiran saya disambut oleh hujan. Sungguh satu rahmat,” ujar Simon dengan nada ceria dalam rakaman video tersebut.
Menerusi perkongsian berkenaan, Simon menjelaskan bahawa keberadaannya di Kuala Lumpur adalah untuk beberapa hari bagi bertemu kenalan, rakan perniagaan, serta merakam beberapa kandungan baharu.
Beliau turut meluahkan rasa kagum terhadap latar belakang Bungalow 37, sebuah lokasi yang dahulunya merupakan kediaman ketua polis British pada era kolonial sebelum pernah dijadikan gereja dan kini dipelihara sebagai restoran eksklusif.
Simon turut meminta cadangan tempat menarik daripada pengikutnya untuk dilawati sepanjang berada di sini.
Peminat Sanggup Redah Hujan 10 Minit Demi Sekeping Gambar
Khabar angin mengenai ketibaan figura internet ini pantas disedari oleh komuniti tempatan. Salah satu detik yang paling mencuit hati dan menyentuh perasaan adalah perkongsian di Instagram Story Simon yang memaparkan tangkap layar mesej peribadi daripada seorang peminat bertuah.
Menyedari lokasi Simon berada berhampiran dengan kediamannya, peminat tersebut memberanikan diri menghantar mesej:
“Yoooo ini di belakang rumah saya. Bolehkah saya nak bergambar dengan awak??”
Simon segera membalas bahawa beliau bakal beredar tidak lama lagi, namun sudi menanti sekiranya peminat itu sempat tiba dengan pantas.
Tanpa berfikir panjang, peminat berkenaan sanggup meredah hujan selama sepuluh minit semata-mata untuk bertemu secara langsung.

Usaha gigih itu berhasil apabila Simon memuat naik foto kenangan mereka berdua dengan kapsyen “Mission complete”, diiringi ucapan terima kasih daripada peminat tersebut yang menyambut kedatangannya dengan penuh adab dan keramahan Malaysia.
Ruangan Komen Gamat Dengan Jenaka Spontan
Kemeriahan ketibaan Simon turut melimpah ke ruangan komen hantarannya.
Simon sendiri tidak melepaskan peluang menyakat pengikutnya apabila meninggalkan komen bersahaja dalam bahasa Melayu santai, “Kenapa Kau Geh?”, serta menambah komen lucu “Real men dont use Umbrellas”.
Kedua-dua komen tersebut meraih ribuan tanda suka dan ratusan respons dalam masa singkat.
Barisan pencipta kandungan tempatan, personaliti radio, serta netizen membanjiri hantaran itu dengan ucapan hangat seperti “The man, the myth, the legend!” dan “Selamat datang ke Malaysia MISTA SIMON”.
Kehadiran santai Simon Kaggwa Njala membuktikan bagaimana kuasa budaya internet mampu merapatkan hubungan manusia merentas benua. Walaupun sekadar persinggahan kerja dan percutian ringkas, keterbukaan beliau menyantuni peminat tempatan nyata mengukir senyuman buat ramai warga maya di Malaysia.