Debut pada bulan April 2009 lalu, akhirnya MPV buatan tempatan Proton Exora ditamatkan pengeluaran sepenuhnya pada 18 Oktober, selepas 14 tahun berada di pasaran Malaysia.
Beberapa keping gambar badan casis unit terakhir MPV itu dikongsikan warganet di pelbagai platform media sosial.
Baca Juga:
- Proton Lancar Model Exora 2023 Dengan Logo Terkini, Harga Bermula RM62,800
- Proton Lancar 4 Model Edisi Terhad, Harga Bermula RM42,300
Di atas hud kereta tersebut ditulis beberapa ayat; 14 Tahun, MPV Exora Terakhir, #196583, 18/10/2023 dan Terima kasih Proton.
Pada bahagian bingkai cermin hadapan diletakkan bendera Malaysia, manakala bahagian belakang pula diletakkan bendera negeri Selangor.
Perkongsian gambar-gambar tersebut telah menyentuh perasaan dan netizen rasa bersedih dengan penamatan model tersebut.
Dalam masa sama, warganet akui kereta itu merupakan MPV tempatan yang bagus pernah dimiliki mereka. Ramai memuji model kereta itu masih boleh digunakan lagi dalam keadaan baik walaupun sudah ‘berusia’.
Dalam pada itu netizen berpendapat siapa yang dapat model kereta itu pasti beruntung kerana setiap bahagian kereta tersebut dihasilkan dengan penuh teliti dan penuh ‘kasih sayang’.
Pada masa sama, orang ramai berharap Proton akan menghasilkan model MPV baharu yang dapat menggantikan Exora pada masa akan datang.
Untuk rekod, enjin yang digunakan Proton Exora, Campro 1.6L CFE juga ditamatkan pengeluarannya, lebih awal pada 13 Oktober lalu.