Perjalanan KWSP selama 75 tahun bukan sekadar kisah angka, simpanan atau dividen, sebaliknya turut merangkumi kisah kehidupan rakyat Malaysia yang dibentuk melalui peranan institusi itu sejak 1951.
Sempena ulang tahun ke-75 penubuhannya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerbitkan sebuah dokumentari khas berjudul Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara yang merakam perjalanan serta perkembangan institusi berkenaan sepanjang tujuh dekad lebih.
Dokumentari berdurasi 23 minit itu menggabungkan rakaman arkib, peristiwa penting dan perkongsian daripada bekas serta pemimpin semasa KWSP bagi membawa penonton menyusuri sejarah institusi tersebut, termasuk sumbangannya kepada kehidupan masyarakat.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah berkata, idea menghasilkan dokumentari itu bermula ketika persiapan penerbitan buku khas The EPF Story (Lakaran Legasi), yang mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.
Menurutnya, dokumentari itu mahu membawa penonton melihat sisi KWSP yang lebih dekat dengan manusia, memandangkan institusi tersebut selama ini sering dikaitkan dengan angka, statistik dan pengurusan simpanan.
Penghasilan dokumentari berkenaan turut dibantu kakitangan lama KWSP yang berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka bagi memastikan setiap fakta sejarah yang dipaparkan tepat dan menepati perjalanan institusi itu.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Tangerine Films, Bobby Husaini berkata, antara cabaran terbesar produksi adalah merangkumkan sejarah KWSP selama 75 tahun ke dalam dokumentari berdurasi hanya 23 minit.
Bagi menjadikan penceritaan lebih dekat dengan penonton, pasukan produksi memilih untuk mengetengahkan kisah manusia serta pengalaman individu yang menerima manfaat daripada KWSP, di samping perspektif warga kerja institusi berkenaan.
Dokumentari itu juga menampilkan beberapa lakonan semula kisah sebenar berkaitan KWSP yang melibatkan kakitangan dalaman sendiri, tanpa menggunakan pelakon profesional. Pendekatan tersebut dipilih bagi memberikan gambaran lebih dekat dan autentik terhadap kisah yang ingin disampaikan.
Bagi memastikan penceritaan tidak tersasar daripada sejarah sebenar, proses penerbitan turut melibatkan penelitian terhadap bahan arkib serta fakta yang berkaitan.
Dokumentari Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara sudah disiarkan menerusi RTM pada 16 November lalu, manakala AWANI akan menayangkannya pada 21 November, pukul 8.30 malam.
Selain dokumentari tersebut, KWSP turut memperkenalkan syiling peringatan serta buku The EPF Story (Lakaran Legasi), yang menghimpunkan kisah individu dan peristiwa penting sepanjang perjalanan institusi itu sempena sambutan ulang tahun ke-75.
Untuk tahu lebih lanjut mengenai perjalanan 75 tahun KWSP, boleh klik di sini.