Presiden Donald Trump telah menggesa ketua syarikat pembuat cip Amerika Syarikat, Intel, untuk meletakkan jawatan ‘serta-merta’, dengan menuduh beliau mempunyai hubungan dengan China, petik BBC.

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif, Lip-Bu Tan, “mempunyai konflik kepentingan yang besar”, dipercayai merujuk kepada dakwaan pelaburan Tan dalam syarikat-syarikat yang menurut AS mempunyai kaitan dengan tentera China.

Baca Juga:

Tan telah dilantik pada bulan Mac untuk memulihkan syarikat gergasi teknologi itu, yang merupakan perintis dalam industri cip AS tetapi sejak kebelakangan ini ketinggalan berbanding para pesaing.

Syarikat itu telah menerima berbilion dolar daripada kerajaan AS sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan semula industri pembuatan semikonduktor Amerika.

Dalam kenyataan pada Khamis, Intel berkata ia sedang membuat pelaburan besar di AS yang selaras dengan agenda ‘America First’ Trump.

“Intel, Lembaga Pengarah, dan Lip-Bu Tan komited sepenuhnya untuk memajukan kepentingan keselamatan negara dan ekonomi AS.

“Kami menantikan kerjasama berterusan dengan pihak pentadbiran,” kata kenyataan itu.

Warganegara AS yang dilahirkan di Malaysia dan dibesarkan di Singapura itu merupakan seorang pemodal teroka yang terkenal dengan kepakarannya dalam industri semikonduktor.

Donald Trump beri desakan

“CEO INTEL mempunyai konflik kepentingan yang besar dan mesti meletakkan jawatan serta-merta. Tiada penyelesaian lain untuk masalah ini,” tulis Trump pada platform media sosial buatannya.

Bagaimanapun dalam kenyataan awal minggu ini, Intel mempertahankan ketua pegawai eksekutifnya yang masih baharu itu, dengan menyatakan bahawa Tan dan syarikat tersebut komited sepenuhnya terhadap keselamatan negara AS.

Sumber