Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, muncul dalam satu acara di Rumah Putih pada Isnin waktu tempatan dengan ruam merah yang jelas kelihatan di bahagian kanan lehernya.

Ramai yang berspekulasi tentang penyakkit kulit Trump. Malah ada yang mendakwa itu mungkin kurap atau kudis. Ramai mulai bimbang tentang kesihatan Trump.

Pegawai Trump sudah menjelaskan bahawa itu hanyalah ruam pada kulit bukannya kurap mahupun kudis.

Doktor presiden AS, Sean Barbabella, memberikan penjelasan mengenai ruam berkenaan yang didakwa berpunca daripada rawatan “pencegahan”.

Trump
Foto: X

“Presiden Trump menggunakan krim yang sangat biasa di bahagian kanan lehernya, iaitu rawatan kulit pencegahan yang dipreskripsikan oleh Doktor Rumah Putih,” kata Barbabella dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan AFP.

“Presiden menggunakan rawatan ini selama satu minggu, dan kemerahan tersebut dijangka berlanjutan selama beberapa minggu,” katanya lagi.

Ruam merah itu kelihatan ketika majlis penganugerahan Pingat Kehormatan, selepas hujung minggu yang sibuk di mana Trump melancarkan serangan ketenteraan AS ke atas Iran.

Sebelum ini, Trump juga pernah dilihat mengalami lebam pada tangannya, yang menurut Rumah Putih berpunca daripada penggunaan aspirin.

Kemunculan ruam merah ini menambahkan lagi spekulasi yang beredar mengenai keadaan kesihatan Trump.

Injap vena Trump rosak

Presiden AS itu sebelum ini turut menjadi perhatian umum apabila tampil dengan lebam di tangan, kemudian tangannya dilihat memakai plaster luka, selain mengalami pembengkakan pada kaki.

Dalam beberapa acara awam, Trump juga dilihat kelihatan mengantuk.

Rumah Putih mendedahkan pada musim panas lalu bahawa pembengkakan pada kaki Trump didiagnosis sebagai gejala insufisiensi vena kronik — satu keadaan biasa di mana injap vena yang rosak menyebabkan darah berkumpul, seterusnya mengakibatkan bengkak, kekejangan dan perubahan pada kulit.